ASAJAYA, 15 Okt: Program Literasi Outdoor Perdana bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1445 Hijrah/Tahun 2023 menutup tirai program keagamaan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Samarahan.
Menurut Penasihat Program Sambutan Maulidur Rasul KEMAS Samarahan, Muhammad Asyraf Nor, sebanyak 11 siri program berbentuk keagamaan di bawah KEMAS telah diadakan di seluruh negeri Sarawak, antaranya pada Awal Muharam dan Nuzul Quran.
Katanya lagi, program tahunan Sambutan Maulidur Rasul tahun ini merupakan edisi khas yang ke-12 dan menutup takwim program berbentuk keagamaan anjuran KEMAS bagi Parlimen Kota Samarahan.
“Ini penutup untuk takwim tahun ini dan Maulidur Rasul ini kalau diikutkan formatnya adalah di bawah Unit Pembangunan Komuniti.
“Formatnya sama sahaja setiap tahun, cuma setiap tahun akan ada penambahbaikan kita tengok di mana ada kelemahan kita akan perbaiki, tetapi pengisian dan matlamat tetap sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS sebelum perarakan 12 kontijen yang membawa sepanduk dan memuji kebesaran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Kontijen pagi tadi terdiri dari guru Kelas Insan KEMAS, pelajar di bawah program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) KEMAS, pelajar Madrasah An Nur Kampung Sambir dan anggota kumpulan hadrah, zikir dan marhaban dari kampung berhampiran iaitu Kampung Moyan, Kampung Sebandi dan Kampung Tanjung Apong.
Seramai 288 peserta termasuk kanak-kanak seawal usia 10 tahun hingga warga emas berusia 60 tahun berarak sejauh lebih satu kilometer dari Klinik Kesihatan Kampung Sambir menuju ke Masjid As-Solihin pada jam 8.30 pagi membawa sepanduk sambil berselawat dan memuji junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Turut bersama kontijen dalam perarakan pagi tadi Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Penghulu Kampung Sambir Lapok Japar dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid As-Solihin, Kampung Sambir Hadi Ameran.
Program diteruskan dengan penghayatan Islam menerusi bacaan surah Al-Mulk dan alunan Zikir Tahnim-TVS