ASAJAYA, 15 Okt: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menggunakan sebanyak RM20 juta daripada peruntukan sebanyak RM568 juta yang diterima pada pembentangan Belanjawan 2024 bagi pembangunan Tabika Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Mengulas mengenai perkara itu, Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, ketika ini Sarawak telah membuka dua Tabika Tahfiz yang merupakan projek perintis dan telah mula beroperasi sejak Julai tahun ini.
Katanya, lokasi Tabika Tahfiz tersebut terletak di Kota Samarahan manakala satu lagi di Petrajaya.
“Tahun ini kita akan kembangkan lagi Tabika Tahfiz di seluruh negara termasuk di Sarawak. Kita telah mengenal pasti tadika-tadika yang boleh dinaik taraf kerana kita tidak dapat membuatnya sekali gus.
“Kita buat (secara) berfasa-fasa memandangkan kita perlu juga membuat peningkatan dan penambahbaikan ke atas guru-guru Tabika KEMAS,” katanya di Program Literasi Outdoor Perdana: Sambutan Maulidur Rasul 1445 Hijrah/Tahun 2023 di Masjid As-Solihin Kampung Sambir, di sini pagi tadi.
Antara yang hadir Penasihat Program Sambutan Maulidur Rasul KEMAS Samarahan, Muhammad Asyraf Nor, Penghulu Kampung Sambir Lapok Japar dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid As-Solihin Kampung Sambir, Hadi Ameran.
Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, format Tabika Tahfiz KEMAS diperoleh dengan kerjasama Yayasan Negeri Pahang dan KEMAS telah bersedia untuk membuka lebih banyak lagi Tabika Tahfiz pada tahun hadapan.
“Untuk tahun hadapan, pembukaan kelas Tabika Tahfiz kita telah bersedia. Beberapa guru KEMAS juga telah dihantar ke Pusat Latihan di Perak untuk membuat peningkatan kemahiran,” katanya lagi. -TVS