IPOH, 15 Okt: Dua lelaki yang sedang berniaga burger di sebuah gerai di Taman Bercham Raya di sini maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di gerai itu awal pagi tadi.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam kira-kira pukul 1.15 pagi sebelum menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berakata, mangsa berusia 14 dan 30 tahun dijumpai terbaring di tepi gerai sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa adalah pekerja dan mereka dipercayai terkena renjatan elektrik semasa bekerja di gerai burger itu.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke HRPB bagi urusan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – TVS