KUCHING, 15 Okt: Sebanyak 12 pasukan termasuk tuan rumah, Sarawak menyertai Rainforest Hat 2023 yang merupakan program sempena Festival What About Kuching (WAK).
Jurucakapnya, Jeigh Pengsong berkata, Rainforest Hat 2023 menyaksikan pemain Asia, Perancis dan Amerika Syarikat berkumpul untuk menyertai sukan Ultimate Frisbee di sekitar bandar raya ini.
Katanya, penganjurannya bukan sahaja mempromosikan sukan frisbee malah turut menonjolkan Sarawak khususnya Kuching sebagai destinasi pelancongan menarik.
“Sukan frisbee agak besar di Asia Tenggara dan di Malaysia. Oleh itu, kami ingin mengembangkan lagi komuniti sukan ini di Kuching dengan menganjurkan acara ini pada setiap tahun.
“Penglibatan pemain dari Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei dan Amerika Syarikat menjadikan acara ini sebagai kojohanan antarabangsa,” katanya kepada TVS.
Sementara itu Pengson yang berasal dari Thailand berkata, pengalaman menyertai acara ini di Sarawak sangat bermakna kerana dia berpeluang bertemu dengan ramai pemain baharu.
“Apabila pemain sedang beraksi, perlawanan boleh menjadi sangat sengit.
“Namun apabila di luar, kami semua adalah kawan. Jadi, semangat kesukanan frisbee ini yang saya suka,” katanya.
Bertemakan animasi kartun Jepun ‘Pokemon’ ini merupakan tahun kedua penganjuran Rainforest Hat.
Rainforest Hat 2023 bermula pada 14 oktober hingga hari ini melibatkan seramai 256 peserta.
Turut hadir, Pengarah Rainforest Ultimate Frisbee 2023, Haydn Nazrin. – TVS