BETONG, 14 Okt: Seorang tuai rumah dipercayai disambar buaya di Sungai Skrang, Rumah Baloi Skim Skrang di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Chaong Baringai, 67.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 10.28 pagi dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong ke lokasi kejadian.
“Menurut laporan daripada penduduk kampung, mangsa dikatakan berada di tebing sungai dan pada ketika itu sedang mengisi air ke dalam tong spray yang digunakan untuk meracun rumput di kawasan sawit dan sawah padi.
“Isteri mangsa yang berada tidak jauh dari mangsa melihat kejadian tersebut dan memberitahu bahawa terdapat seekor buaya telah menyambar suaminya dan membawa mangsa ke lubok sungai anggaran jarak 200 meter ke hulu sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, penduduk kampung melakukan pencarian dan menemui bangkai seekor buaya tetapi tiada menemui jasad mangsa berhampiran kawasan tersebut.
“Operasi mencari dan menyelamat(SAR) dimulakan bersama penduduk kampung, seramai 31 orang menggunakan lapan buah bot memulakan pencarian.
“Seramai tiga orang penduduk kampung melakukan selaman di tebing sungai dengan diawasi oleh pihak polis seramai tiga anggota,” ujarnya.
Operasi SAR masih dijalankan setakat ini dan mayat mangsa masih belum dijumpai.- TVS