SADONG JAYA, 14 Oktober: Jalan Pesisir Pantai dari Kampung Semera ke Kampung Bilis, Sadong Jaya yang telah siap sepenuhnya dirasmikan dengan acara arian Sadong Coastal Road Run 2023 hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir Aidel Lariwoo, jalan sepanjang 14 kilometer itu dibangunkan daripada perimeter ban yang dinaik taraf dengan kos RM 10 juta.
Ir Aidel memberitahu kemudahan berkenaan urut diiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengikut standard R3 bagi jalan di kawasan pendalaman.
““Itu kiranya bila kita melepaskan larian 10 km dari Semera ke Sadong Jaya itu menandakan jalan itu telah dibuka secara rasminya,” kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) itu ketika ditemui TVS selepas acara penangguhan larian berkenaan di Panggung Udara, Pekan Warisan Pendam Sadong Jaya, pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Setiausaha Eksekutif SABERKAS Negeri Sarawak Iszuan Haroni dan Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat.
Menerusi pembinaan Jalan Pesisir Pantai standard R3 ini, Ir Aidel mendedahkan pengguna jalan raya harus mematuhi had kelajuan yang ditetapkan iaitu sehingga 70 km sejam.
Berkongsi perancangan masa hadapan daerah kecil itu, Ir Aidel berkata beberapa perancangan telah dan akan diusahakan bersama Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee.
Jelasnya, antara perancangan yang telah diusahakan adalah menaik taraf sistem ban, tali air dan pembinaan jalan kebun dan jalan pertanian di Sadong Jaya.
“Pada masa ini telah dinaik taraf, parit-parit telah digali dan perimeter gate juga telah digali dan ini sudah pasti melancarkan air di kawasan pertanian.
“Dengan adanya jalan-jalan kebun, kebun dapat dibuka disamping nilai tanah itu akan semakin meningkat” katanya lagi. -TVS