KUCHING, 13 Okt: Teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi memperkasakan sektor penjagaan kesihatan.
Namun, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata teknologi berkenaan tidak dapat menggantikan atau menandingi kepakaran yang ada pada manusia, sebaliknya AI boleh berperanan sebagai penghubung atau pemudah cara.
“Dua bulan yang lalu, apabila saya berada di Singapura untuk Persidangan Kardiologi Asia bagi melihat pemeriksaan Penjagaan Kardiovaskular Kecemasan (ECC), didapati bahawa teknologi AI ChatGPT dapat menjawab semua soalan dengan betul.
“Pendapat saya, AI kemungkinan mempunyai ilmu meluas berkenaan kardiologi namun pakar kardiologi masih perlu mempraktikkan kepakaran mereka lebih-lebih lagi sewaktu pembedahan.
“Sememangnya AI boleh menentukan diagnosis dan sebagainya. Tetapi kita masih memerlukan manusia untuk menyelamatkan nyawa,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Persidangan Asia for Animals (AFA) Sarawak 2023 di sini, malam ini.
Tambahnya lagi, penguasaan teknologi AI penting bagi menukar landskap kehidupan manusia sejajar dengan kemajuan teknologi dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial, perindustrian dan pendidikan.
“Seperti contoh, baru-baru ini saya membeli sebuah kereta elektrik (EV) jenis BYD buatan China. Isteri saya juga membeli kereta tersebut dan suatu hari, dia meninggalkan telefon bimbit dalam kereta.
“Apabila dia hendak keluar, kereta memberitahunya bahawa dia terlupa telefon bimbit,” katanya. – TVS