KUALA LUMPUR, 13 Okt: Hasrat Sarawak menambah 12 kerusi parlimen di negeri ini wajar dilaksanakan, kata Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Perkara itu menurut beliau susulan mengambil kira serta selari dengan peruntukan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Jadi dalam keadaan sekarang ini saya amat bersetuju dengan hasarat untuk menambah kerusi parlimen di Sarawak sebagaimana yang ditekankan oleh Premier Sarawak dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Kini tiba masanya (perlaksanaannya) berikutan kerana memang ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi persempadanan semula boleh dibuat dan diwujudkan serta kawasan parlimen untuk Dewan Rakyat,” katanya.
Menteri Kerja Raya itu berkata demikian kepada TVS bagi mengulas respon mengenai hasrat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menubuhkan 13 kawasan parlimen baharu di Sarawak.
Baru-baru ini, Abang Johari memaklumkan Sarawak sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan beberapa kawasan parlimen baharu selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata satu jawatankuasa khas dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan ditubuhkan bagi meneliti perkara itu.
Abang Johari mendedahkan, selepas penelitian dibuat, kerajaan Sarawak akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan lanjut.
Setakat ini, Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dan pembentukan kawasan baharu itu perlu bagi memastikan pengagihan satu pertiga kerusi parlimen kepada Sabah dan Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Nanta memaklumkan bahawa beliau menyifatkan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) (Pindaan) 2023 bagi membolehkan wakil kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik sebagai ahli lembaga pengarah merupakan khabar baik untuk kedua-dua negeri itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit dalam pada itu mengakui ia merupakan hasrat Sarawak dan juga Sabah agar ada wakil dari kedua-dua negeri dalam senarai ahli lembaga badan berkanun itu.
“Walaupun sepatutnya ada selama ini (wakil) namun tidak pernah diisi dan tidak pernah dilantik oleh wakil daripada Sarawak dalam Lembaga tersebut Oleh itu, dengan kelulusan rang undang-undang ini, ia nya sekali gus memenuhi aspirasi perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya. – TVS