BAU, 13 Okt: Pesta Tasik Biru yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Jong merupakan acara yang dinantikan oleh orang ramai di sini terutamanya para peniaga kecil.
Pesta yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Oktober ini mampu memberikan rezeki kepada peniaga-peniaga di sekitar daerah berkenaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, penganjuran pesta itu menjadi platform merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Katanya, sehingga kini terdapat 40 gerai makanan bakal terlibat dalam pesta tersebut selain 10 khemah pameran serta 20 ‘car boot sale’.
“Tujuan kita adalah untuk merancakkan aktivitsosio ekonomi setempat. Program kita juga tentu sekali untuk memberi peluang kepada orang tempatan sama ada mengambil bahagian dalam berniaga dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pesta Tasik Biru di sini, hari ini.
Henry berkata, Pesta Tasik Biru kali ini menampilkan sedikit kelainan berbanding penganjuran sebelum ini dengan dua pentas persembahan berbanding satu pentas sebelum ini.
Katanya, sepanjang tiga hari pesta tersebut, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya persembahan kebudayaan etnik Bidayuh, Cina dan Melayu termasuk persembahan daripada artis-artis tempatan.
“Acara yang menjadi tumpuan utama pada Pesta Tasik Biru 2023 kali ini adalah pertandingan Miss Tasik Biru dan Program Keselamatan Dalam Air yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pada 28 Oktober,” katanya. – TVS