KUCHING, 13 Okt: Pihak berkuasa tempatan disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menguatkuasakan antirabies termasuk penghapusan anjing liar.
Berucap pada Persidangan Haiwan Asia Sarawak 2023 di sini hari ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kebajikan haiwan ini juga perlu dipantau.
“Kita mempunyai SOP dan perlu mematuhinya supaya ia tidak sekadar panduan di atas kertas,” katanya.
Pada 1 Oktober lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata kerajaan menyasarkan untuk memberi vaksin kepada 40,000 haiwan peliharaan di Sarawak tahun ini sebagai usaha mengekang penularan rabies.
Setakat 7 September lepas katanya, sebanyak 27,668 haiwan peliharaan telah divaksin.
Sejak 2017, sejumlah 949 kes rabies direkodkan di Sarawak dengan 72 kes telah menjangkiti manusia dan mengakibatkan 65 kematian.
Sementara itu, Abang Johari berkata tumpuan harus diberikan kepada pelaksanaan program pemandulan haiwan yang mantap, berbanding menawarkan ganjaran kepada orang ramai.
“Kita tahu bahawa haiwan yang berkeliaran akan membiak dalam tempoh enam bulan dan masalah itu akan berulang jika kita tidak menangani punca masalah terbabit.
“Kita boleh berbincang untuk adakan kempen pemandulan di seluruh negeri, kita memerlukan rakan gabungan untuk bekerja bersama-sama dan melakukan kajian tentang perkara ini. Marilah kita bersama-sama membuat seruan terhadap kawalan dan pengurusan populasi kucing dan anjing liar yang berperikemanusiaan,” katanya.
Abang Johari berkata pemilik juga bertanggungjawab memastikan agar anjing mereka tidak berkeliaran di luar kawalan yang boleh mendatangkan masalah kepada komuniti atau alam sekitar.
Selain itu, Abang Johari turut memuji Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) dan para doktor haiwan atas komitmen dan usaha mereka menyediakan perlindungan serta menjaga kebajikan haiwan di negeri ini.
“Cabaran sekarang adalah untuk bekerjasama dari segi menangani penyakit baharu, memberi penekanan kepada perlindungan dan kesihatan haiwan kerana ia wujud bersama.
“Ia mestilah tindakan kolektif dan saya ingin memuji SSPCA dan doktor haiwan untuk semangat anda dan kerajaan komited untuk itu,” ujarnya. – TVS