Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman

Komposisi satu pertiga kerusi parlimen Sabah, Sarawak pulihkan kuasa – Fazzrudin

ByAkma Salleh

KUCHING, 13 Okt: Perwakilan satu pertiga bagi Sarawak dan Sabah di Parlimen merupakan tindakan untuk memulihkan keseimbangan kuasa bagi kedua-dua negeri dalam negara, kata Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman.

Bukan sekadar tuntutan tegasnya keperluan komposisi satu pertiga kerusi parlimen Sabah dan Sarawak adalah berlandaskan kepada  asas sejarah.

“Ini adalah selaras dengan perenggan 236 (a) Laporan Suruhanjaya Cobbold yang menekankan bahawa perwakilan wilayah Borneo dalam kerajaan persekutuan hendaklah mengambil kira bukan sahaja populasi tetapi juga saiz dan potensi mereka.

“Apabila Singapura keluar dari Malaysia, kerusi yang disandang oleh Singapura tidak dibahagikan secara sama rata antara Sarawak dan Sabah mengakibatkan ketidakseimbangan kuasa dan memihak kepada Semenanjung Malaysia.

“Oleh itu, satu pertiga perwakilan untuk kedua-dua wilayah ini mampu memulihkan keadaan tersebut.

“Ini akan melindungi status Sarawak dan Sabah dalam persekutuan di mana undang-undang yang tidak memihak kepada negeri-negeri Malaysia Timur tidak boleh dijentikan di Parlimen kerana Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah mesti dirujuk dalam meluluskan mana-mana undang-undang.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fazzrudin yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak berkata demikian bertujuan untuk mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Rise of Social Efforts (ROSE) yang mendakwa desakan Kerajaan Sarawak untuk mengembalikan satu pertiga perwakilan di Parlimen untuk wilayah Sarawak dan Sabah boleh menyebabkan kedua-dua wilayah itu lebih mewakili, dari segi populasi.

Tegasnya lagi, walaupun ROSE membuat hujah bahawa perwakilan mesti diukur mengikut saiz populasi, hujah yang tepat ini tidak boleh digunakan untuk Sarawak dan Sabah memandangkan keluasan tanahnya yang luas dan populasi yang terhad.

“Jika mentaliti dan kaedah ini diguna pakai dan diterima maju ke hadapan, bukan sahaja dari segi penentuan perwakilan tetapi juga dari segi peruntukan dana oleh kerajaan pusat, Sarawak dan Sabah akan ketinggalan begitu sahaja, yang telah berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Fazzruddin berkata dalam konteks Sarawak dan Sabah, perwakilan, peruntukan dana serta penekanan dalam pembangunan negara mestilah berasaskan keperluan dengan mengambil kira situasi di kedua-dua wilayah.

“Gesaan untuk mengembalikan satu pertiga perwakilan dengan menambah kerusi parlimen di Sarawak dan Sabah telah disokong oleh pemimpin di wilayah, bermakna ada kemahuan politik untuk ini menjadi kenyataan.

“Pemulihan ini bukan sahaja selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) tetapi juga sebagai petanda dengan aspirasi negeri-negeri Borneo; Sarawak dan Sabah untuk turut sama maju seperti di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan