KUCHING, 13 Okt: Julung kali pentas Borneo Opera Festival (BOF) 2023 membuka tirai di Sarawak, konsert itu tampil gah dan berprestij.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengakui penganjuran BOF 2023 di sini berjaya meningkatkan profil seni dan budaya negeri ini.
Menurut beliau, BOF 2023 juga merupakan inisiaitif berani penganjurnya untuk meletakkan Sarawak dalam peta dunia sebagai hab muzik opera di rantau Asia Tenggara.
“Ini adalah satu acara ataupun opera yang pertama kali saya lihat yang datang daripada Eropah.
“Saya percaya bagi penonton-penonton yang lain kemungkinan sama jugak teruja kerana julung kali opera seperti ini dibawa ke sebelah timur lebih-lebih lagi di sebelah Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas BOF 2023 di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Khamis.
Menyaksikan sambutan baik dalam kalangan peminat opera di Bandaraya ini, Abdul Karim mempertimbangkan konsert berkenaan diadakan sebagai acara tahunan.
“Nampaknya acara ini ada sambutan dan mempunyai peminat seperti ini ada nampak di Sarawak.
“Kalau kita nak bandingkan acara-acara muzikal disini seperti Rainforest World Music Festival (RWMF) kita dulu mula pada mulanya bermula peringkat yang kecil.
“Selepas itu tahun ke tahun ia boleh lagi diterima oleh masyarakat.
“Insya-Allah kita akan sama ada festival ini boleh kita adakan lagi tahun-tahun akan mendatang,” ujarnya.- TVS