Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan Perpaduan memperuntukkan sebanyak RM2.8 bilion bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan persekutuan pada tahun hadapan. Foto arkib: TVS

Belanjawan 2024: Peruntukan RM2.8 bilion selenggara jalan dan jambatan persekutuan – Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Kerajaan Perpaduan memperuntukkan sebanyak RM2.8 bilion bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan jambatan persekutuan pada tahun hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu termasuk sejumlah RM300 juta yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkasa khidmat jurutera daerah dengan meningkatkan peruntukan kepada RM200,000 berbanding RM100,000 untuk 115 jurutera daerah, melibatkan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

“Selain itu, RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus. RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT (pihak berkuasa tempatan) seluruh negara.

“RM50 juta disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan lalu lintas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) berjumlah RM5.4 bilion yang disalurkan kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat.

Beliau berkata aspek keselamatan jalan raya akan terus diberi pertimbangan utama kerajaan dengan setakat Ogos tahun ini, lebih 4,100 jalan berlubang di jalan persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih.

Selain itu, Anwar berkata projek pembaikan tandas di 8,354 buah sekolah tahun ini hampir siap dan kerajaan akan menyediakan RM150 juta bagi menyelenggara dan membaiki tandas di 150 PBT seluruh negara tahun depan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan