KUALA LUMPUR, 13 Okt: Belanjawan 2024 memperuntukkan sejumlah RM393.8 bilion, satu peningkatan berbanding Belanjawan 2023 dengan peruntukan RM372.3 bilion.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
“Perbelanjaan ini membabitkan penambahan siling Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan RM415 bilion untuk tempoh lima tahun.
“Penambahan ini menunjukkan kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang dan pada masa sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Belanjawan ini adalah yang kedua dibentang di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar, yang juga Menteri Kewangan. – TVS