KUALA LUMPUR, 13 Okt: Kemajuan dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak terus mendapat perhatian utama Kerajaan Perpaduan di bawah Belanjawan 2024 Malaysia MADANI apabila sejumlah projek pembangunan dirancang untuk dilaksanakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini berkata ia termasuk usaha menaik taraf bangunan dan prasana daif di 450 buah sekolah, merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah dengan peruntukan RM930 juta.
Beliau berkata dua sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baie, Bintulu di Sarawak dan SMK Laya-Laya di Tuaran, Sabah akan dibina pada tahun depan, bersama 24 lagi sekolah lain termasuk di Pahang, Perak, Kelantan, dengan peruntukan berjumlah RM2.5 bilion.
Selain itu, untuk memperkasakan ketercapaian kemudahan kesihatan, Pulau Mantanani, Kota Belud di Sabah merupakan antara lima kawasan yang bakal dibina dengan klinik kesihatan baharu pada tahun depan, selain Rantau (Negeri Sembilan), Kuala Tahan di Jerantut (Pahang) serta Kuala Jengal di Dungun (Terengganu).
“Bagi mengatasi isu bekalan air khususnya di Kota Kinabalu, Sabah, tumpuan pada tahun depan adalah untuk memulih dan menggantikan infrastruktur serta peralatan bagi meningkatkan loji rawatan air,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Demi memastikan jaringan jalan yang baik untuk memudahkan pergerakan rakyat di samping melancarkan aktiviti pedagang dan menjana ekonomi setempat, Perdana Menteri berkata projek-projek insfrastruktur utama jalan raya di kedua-dua negeri akan terus diperhebat.
Menurut beliau, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya tahun depan dengan proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b melibatkan jajaran 336 kilometer (km),dan kos RM15.7 bilion, akan diselesaikan November ini.
Selain itu, projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 km melibatkan kos hampir RM74 bilion mula dilaksanakan penghujung tahun ini, di samping kerajaan akan terus mensubsidi pengangkutan udara sebanyak RM209 juta untuk manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Bagi mempertingkat kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu masuk antarabangsa, Perdana Menteri berkata tujuh pos imbangan akan dibina tahun depan antaranya di Melikin dan Pa’Daleh di Sarawak, selain pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning di Pulau Sebatik, Sabah serta melaksanakan kerja awalan pembinaan dua Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Nabawan dan Kalabakan, Sabah.
Tahun depan juga, sebanyak 26 bangunan prasekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina melibatkan kos RM82 juta termasuk di Sekolah Kebangsaan Abang Kadir Gedong di Simunjan, Sarawak selain sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri antaranya untuk mempergiat aktiviti kebudayaan Sabah dan Sarawak.
Anwar berkata program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen yang menyediakan penempatan sementara buat kanak-kanak juga akan diperluaskan di tiga lagi pusat penempatan, masing-masing satu di Sabah dan Sarawak dan Semenanjung dengan peruntukan RM10 juta.
“Sejumlah 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi turut akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion termasuklah Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Likas, Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching Fasa 2 (Sarawak).
“Selain itu, sejumlah RM80 juta disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) antaranya di Gua Niah, Sarawak; Lembah Bujang (Kedah) dan Pantai Teluk Kemang (Negeri Sembilan),” kata beliau. -TVS