KUCHING, 12 Okt: Orang ramai dilarang mengadakan perhimpunan di Mahkamah Sibu pada hari perbicaraan berkaitan satu kes rusuhan pada 17 Oktober ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mancha Ata berkata pihaknya menerima satu laporan menyeru orang ramai agar turun beramai-ramai ke mahkamah dan turut mempunyai unsur hasutan pada 8 Oktober.
Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali.
Di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.
“Tindakan memberikan sokongan sedemikian dikhuatiri boleh mendatangkan suasana yang boleh mengancam keamanan dan ketenteraman awam,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, polis akan mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang cuba mengajak dan menghasut orang-ramai untuk berhimpun di kawasan atau pekarangan mahkamah pada hari tersebut.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang masih berdegil dan enggan mematuhi arahan dari pihak berkuasa.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar, palsu dan boleh mengelirukan demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – TVS