KUALA LUMPUR, 12 Okt: Masalah padi tumbang di kawasan penanaman padi Tanjung Karang, Sekinchan dan Sabak Bernam, Selangor yang berlaku akibat fenomena hujan dan ribut sejak awal bulan ini, begitu meresahkan pesawah di kawasan berkenaan.
Bencana yang berlaku ketika musim menuai baru bermula itu pasti akan menjejaskan pendapatan mereka kerana hasil yang diraih berkurangan berbanding kebiasaan.
Senario semasa yang menyaksikan pengilang menurunkan harga belian daripada RM1,700 setan kepada sekitar RM1,200 dan RM1,250 membebankan lagi pesawah yang sudahpun perlu menanggung peningkatan pelbagai kos seperti baja, racun dan upah pekerja.
“Kami tidak tahu apa yang akan berlaku dalam satu atau dua bulan akan datang. Sebelum ini, kami berdepan dengan cuaca panas dari Ogos hingga September yang memberi kesan kepada sumber air, dan kini hujan serta ribut pula.
“Fenomena padi tumbang menyebabkan jentera menuai tidak dapat mengutip sepenuhnya hasil kerana ada padi yang melekat pada tanah,” kata Fairuz Zzaini Mohd Toif, 36, kepada Bernama.
Pesawah muda yang mengusahakan sawah padi seluas 12 hektar sejak 11 tahun lalu, tidak menjangka berdepan situasi hujan yang turun setiap hari sekarang kerana keadaan itu hanya berlaku semasa Monsun Timur Laut (MTL), iaitu pada akhir tahun.
Hampir satu hektar tanaman padinya rebah akibat fenomena itu dan dia menjangka kerugian kutipan hasil lebih enam tan metrik bernilai kira-kira RM8,000 dan ini tidak termasuk kos penanaman.
Fairuz Zzaini dan pesawah lain yang ditemui Bernama, turut menyuarakan kebimbangan mereka tentang pengaruh El Nino yang melanda dunia ketika ini dan diramal menjadi lebih kuat pada akhir tahun serta berterusan hingga Januari dan Februari tahun depan, menyebabkan keadaan lebih kering berbanding kebiasaan.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan kesan fenomena El Nino akan menjadi lebih ekstrem berbanding episod-episod sebelumnya dengan peningkatan suhu dan penurunan jumlah taburan hujan di seluruh negara.
Hakikatnya, cuaca panas yang melanda sebahagian besar dunia ketika ini menjejaskan hasil tuaian beberapa kawasan penanaman padi di Asia. Malah, India yang merupakan pengeksport utama beras, bertindak menghentikan eksport beras putih bukan basmati bagi mengelakkan lonjakan harga bekalan domestik.
Tindakan India itu memberi impak besar kepada pasaran beras dunia kerana negara itu mengeksport 40 peratus atau 22 juta tan beras putih bukan basmati ke 140 buah negara termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina serta beberapa buah negara di benua Afrika.
Malaysia ketika ini mengeluarkan 63 peratus beras untuk keperluan tempatan dan selebihnya diimport dari India, Thailand dan Vietnam.
SEKURITI BERAS
Namun, penghasilan beras tempatan berisiko terjejas pada awal tahun depan akibat El Nino dan fenomena Indian Ocean Dipole (IOD) negatif yang akan mengurangkan lagi jumlah curahan hujan, sekali gus menyebabkan keadaan lebih kering dan ini menjejaskan negeri-negeri yang melakukan tanaman luar musim, iaitu pada Mac dan April, kata Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah.
Di Semenanjung, musim lazim penanaman padi ialah dari September hingga Oktober, manakala musim menuai pula berlangsung dari Disember hingga Mac. Bagi tanaman luar musim, penanaman dilakukan antara Mac hingga April dan penuaian bermula Jun hingga Ogos.
Keadaan adalah berbeza di Sabah dan Sarawak yang mengamalkan penanaman satu musim, dengan Sarawak mula menanam dari Oktober hingga November dan menuai bermula Mac hingga April. Sabah pula mula menanam padi dari Jun hingga Ogos dan hasil dituai Disember hingga Februari.
“Jadi, bila air empangan dilepaskan untuk musim pertama (musim lazim), kena tunggu hujan MTL untuk isi empangan semula supaya cukup air untuk tanaman kedua (tanaman luar musim) yang bermula dari Mac hingga April.
“Takungan ini perlu dipantau kerana kalau kurang hujan bulan November dan Disember disebabkan faktor El Nino dan IOD maka takungan juga berkurangan,” katanya.
Menurut Azizan, isu utama yang dihadapi oleh pesawah ketika cuaca panas ekstrem yang dijangka pada awal tahun depan ialah memastikan takungan air mencukupi semasa musim menanam kerana air sangat diperlukan pada tempoh itu.
Sekiranya tiada langkah mitigasi dilakukan, peningkatan suhu ekstrem ini akan memberi tekanan kepada tanaman padi sehingga menjejaskan hasil.
“Bendang perlu mendapat takungan air yang mencukupi untuk mengurangkan penumbuhan rumput semasa musim menanam padi. Di negara kita, 60 peratus padi adalah di bawah sistem pengairan dan hanya 20 peratus bergantung pada hujan manakala 10 peratus untuk padi huma.
“Bagi saya, isu bukan berkait dengan pesawah tetapi pada pengurusan air empangan, banyak mana air yang patut dilepaskan. Pelepasan air dari empangan patut dibuat secara berhemat supaya air boleh disimpan untuk pelepasan pada musim seterusnya,” katanya.
Tidak boleh dipandang remeh kerana keadaan ini dilihat berisiko mengancam sekuriti makanan negara. Apatah lagi negara pengeksport beras seperti Thailand, Vietnam dan Australia juga akan menghadapi kemarau akibat El Nino.
“Negara-negara ini akan mengurangkan eksport beras, dan dalam masa sama negara seperti Indonesia dan India mungkin akan menghadapi kekurangan pengeluaran beras dan akan turut meningkatkan import beras.
“Kedua-dua faktor ini boleh menyebabkan peningkatan harga beras, sekali gus akan mengganggu lagi isu sekuriti bekalan beras yang sedang kita hadapi ketika ini,” katanya.
Kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) semakin meruncing susulan pengguna kurang membeli beras putih import (BPI) berikutan harganya yang meningkat hingga 36 peratus, selain dikatakan berpunca daripada kadar pengeluaran padi dalam negara yang rendah, tidak mampu memenuhi permintaan domestik.
Peningkatan harga BPI memberi kesan peralihan permintaan pengguna kepada BPT apabila Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan penyelarasan harga BPI di pintu gudang daripada RM2,350 kepada RM3,200 per tan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga turut mengenal pasti pembelian panik BPT selain perbuatan beberapa pihak turut menyumbang kepada gangguan pasaran, mendorong KPKM menguatkuasakan had maksimum pembelian sebanyak 100 kilogram bagi setiap transaksi individu mulai 7 Sept lepas.
SISTEM PERPARITAN
MTL kali ini yang dijangka bermula November 2023 hingga Mac 2024, bagaimanapun akan mengalami taburan hujan berkurangan sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya, kata Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi & Sains Atmosfera METMalaysia Ambun Dindang.
Beberapa kawasan seperti utara Sarawak dan beberapa negeri utara Semenanjung bakal mengalami kekurangan hujan bagi tempoh Februari hingga Mac 2024. Sabah merupakan satu-satunya negeri yang terkesan oleh El Nino dan bakal menerima hujan di bawah purata taburan hujan yang sepatutnya.
Perubahan cuaca yang mendadak ini merupakan antara punca utama berlakunya sedikit penurunan kadar sara diri beras (SSL) negara, iaitu hanya sekitar 63 peratus pada 2022 berbanding 65 peratus pada 2021, kata Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia Prof Dr Mohd Rafii Yusop.
Keperluan beras tempatan boleh mencapai purata 250,000 tan sebulan atau sekitar tiga juta tan setahun, dan sekiranya berlaku sebarang pengurangan hasil padi yang signifikan disebabkan oleh pelbagai faktor, ini akan mengakibatkan berlakunya krisis makanan ruji tersebut.
“Banyak kajian menunjukkan perubahan cuaca memberi impak ketara kepada produktiviti padi. Contohnya, musim panas dan El Nino boleh menyebabkan kekurangan air di sawah dan empangan sehingga boleh menjejaskan hasil,” jelas beliau.
Sistem perparitan dan saliran sawah yang tidak efisien perlu ditambah baik berikutan masih ada kawasan penanaman padi yang kurang cekap menangani masalah pengairan terutamanya ketika El Nino.
Sehubungan itu, beliau melihat ada keperluan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk belajar daripada negara maju dan negara ASEAN lain seperti Vietnam dan Thailand, bagi menambah baik sistem pengairan.
Beberapa inisiatif bagi menangani isu kekurangan bekalan beras akibat cabaran cuaca perlu dilakukan, antaranya memperbanyakkan kawasan penanaman padi serta mempertingkat produktiviti sawah menerusi amalan kaedah penanaman padi yang betul.
“Setakat ini, kita hanya ada lebih kurang 350,000 hektar tanah bagi penanaman padi sebanyak dua kali (lebih kurang 700,000 hektar setahun) meliputi 12 jelapang padi dan luar jelapang padi di seluruh negara yang turut menghasilkan purata empat tan sehektar. Jumlah ini agak kecil dibandingkan dengan Thailand (11 juta hektar) dan Vietnam (9 juta hektar).
“Latihan dan khidmat nasihat mengenai kaedah pertanian yang betul perlu dilakukan kerana masih ramai pesawah tidak mengamalkan penanaman lestari, antaranya tidak mengawal rumpai dengan baik serta tidak mengikut jadual penanaman benih padi yang ditetapkan,” katanya.
STROK HABA
Keadaan cuaca tidak menentu ini bukan hanya menjejaskan hasil tanaman padi tetapi juga kesihatan pesawah apabila ada yang mengalami strok haba, kata Timbalan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar, Zulkarnain Ismail, 34.
Menurutnya, semakin ramai pesawah di kawasan itu mengalami strok haba sehingga ada yang perlu dimasukkan ke hospital, satu situasi yang jarang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.
“Di bawah kita terdapat 2,393 pesawah, dan tahun ini sahaja kita dapati kira-kira 220 pesawah mengadu sakit akibat cuaca panas dan seramai 26 orang telah dimasukkan ke hospital.
“Apabila sakit, pastinya mereka sukar nak mengusahakan tapak sawah dan ini akan mengakibatkan jumlah penghasilan padi terjejas,” katanya.
Saiful Saari, 43, antara pesawah yang terkesan oleh cuaca panas. Dia mengalami strok haba pada Mei lepas hingga terpaksa dirawat di Hospital Tanjung Karang.
Biarpun sudah terbiasa bekerja di bawah cuaca panas sebelum ini, suhu panas melampau sejak dua tahun belakangan ini menyebabkan Saiful dan beberapa rakan pesawah lain terkena strok haba.
“Ketika kejadian, saya sedang meracun di sawah dalam keadaan cuaca panas terik dan tiba-tiba saya pengsan. Di hospital, doktor menyatakan saya perlu dirawat selama sebulan akibat strok haba,” katanya.
Selain cuaca panas dan fenomena El Nino, pesawah juga turut terkesan oleh situasi jerebu yang sedang melanda negara. Setakat 8 Okt, 18 stesen udara mencatatkan bacaan 101-200 Indeks Pencemaran Udara (IPU) tahap tidak sihat di Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
“Sekarang nak masuk sawah padi pun terpaksa pakai pelitup muka dan cermin mata perlindungan disebabkan jerebu ini. Sawah padi tetap perlu diusahakan walau apapun keadaan cuaca kerana inilah sumber pendapatan utama untuk meneruskan kehidupan kami,” ujar Saiful.
Situasi semasa ini turut membuatkan pesawah sukar mendapatkan pekerja apabila ramai yang tidak sanggup bekerja dalam cuaca panas ekstrem.
Lantaran itu jugalah Junaidi Ahmad, 50, terpaksa mengeluarkan wang simpanannya berjumlah RM80,000 bagi membeli dron untuk menjalankan kerja-kerja meracun di sawah padinya seluas 15 ekar (enam hektar) di Sekinchan.
“Sebelum ini, saya menggaji tiga pekerja asing tetapi sejak cuaca tidak menentu dan panas, semakin sukar mendapatkan pekerja. Jadi, saya perlu fikirkan jalan terbaik untuk meneruskan kerja sawah dan akhirnya membeli dron.
“Walaupun agak mahal, kaedah ini menjimatkan penggunaan dos racun. Misalnya, jika saya mengupah pekerja, biasanya tiga jenis botol racun digunakan untuk satu lot sawah yang berkeluasan kira-kira 1.2 hektar tetapi dengan dron dapat hingga dua lot sawah kerana semburannya lebih efektif dan kurang pembaziran,” katanya. – TVS