MIRI, 12 Okt: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPM W5) Miri merampas 630,000 batang rokok putih tanpa cukai bernilai RM704,000 menerusi ‘Ops Taring Kontraban’ di sini pada Selasa.
Dalam operasi itu, sepasukan empat pegawai dan anggota dari Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal PPM W5 Miri bertindak menahan dan memeriksa sebuah van yang mencurigakan di tepi Jalan Cahaya Lopeng pada 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati kenderaan berkenaan dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an.
“Pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan operasi mendapati terdapat rokok pelbagai jenis tidak bercukai disimpan di dalam van berwarna putih itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu van berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada pihak Kastam.
“Pihak kami kemudian bertindak menahan pemandu terbabit kerana gagal mengemukakan sebarang bukti berkaitan rokok berkenaan,” katanya.
Pasukan operasi juga merampas sebuah van bernilai RM27,000. Keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM731, 000.
Alexson berkata, semua barang rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – TVS