Geneva, 12 Okt: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) sedang berhubung dengan Hamas dan Israel bagi mengadakan rundingan untuk membebaskan tawanan yang di bawa ke Gaza.
Pengarah Wilayah ICRC di Timur Tengah, Fabrizio Carboni dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya bersedia untuk melaksanakan lawatan kemanusiaan sebagai perantara neutral.
“Kami bersedia untuk melakukan lawatan kemanusiaan, memudahkan komunikasi antara tawanan dan ahli keluarga dan untuk memudahkan sebarang pembebasan akhirnya,” katanya.
Palang Merah juga menggesa kedua-dua pihak untuk menghentikan sebarang ancaman terhadap orang awam.
Hamas telah menuntut kebebasan untuk semua 5,200 tawanan yang didakwa sebagai penduduk Palestin ditahan di penjara Israel sebagai pertukaran untuk tawanan.
Termasuk telah memberi amaran akan membunuh seorang tebusan setiap kali tentera Israel mengebom sasaran orang awam di Gaza tanpa amaran.
Terdahulu, Israel melakukan ‘kepungan sepenuhnya’ ke atas Semenanjung Gaza dengan memutuskan bekalan air, makanan, elektrik dan bekalan penting lain, selepas Hamas melancarkan serangan dalam tindak balas mengejut pada Sabtu lalu.
-TVS