KUCHING, 12 Okt: Orang ramai kecewa dengan tindakan MYAirline apabila syarikat penerbangan itu menghentikan operasi bermula hari ini tanpa memaklumkan lebih awal.
Sapri Noh Hassan yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini berkata MYAirline perlu memaklumkan awal agar para penumpang berusaha mencari alternatif lain.
“Sekiranya awal memaklumkan, penumpang tidak perlu datang ke lapangan terbang,” katanya yang menghantar anaknya yang dijadual menaiki pesawat MYAirline, hari ini.
Menurutnya, bukan sahaja rugi kerana penerbangan Kuching ke Kuala Lumpur dibatalkan, malah anaknya juga terpaksa menanggung kerugian kerana terlepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke Langkawi.
Seorang penumpang, Jee Suk Kian, mahu syarikat penerbangan itu menyelesaikan masalah dihadapi orang ramai.
Beliau membeli tiket penerbangan pada Jumaat yang bernilai RM1,000.
Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menyediakan talian dan saluran khusus bagi membantu pengguna yang terjejas oleh penggantungan mengejut operasi syarikat penerbangan terbabit.
MAVCOM juga menegaskan MYAirline masih bertanggungjawab membayar balik pengguna yang membeli tiket dengan syarikat penerbangan walaupun operasinya dihentikan. – TVS