KUCHING, 12 Okt: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MACVOM) menegaskan syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi kepada pembeli tiket yang terkesan.
MAVCOM dalam satu kenyataannya berkata pembayaran balik itu harus dibuat berikutan pergantungan operasi syarikat tersebut berkuat kuasa hari ini.
“MYAirline juga diarahkan agar segera membantu para pengguna terjejas antara lainnya termasuk, dengan memaklumkan kepada mereka mengenai penggantungan operasi tersebut dan menerbitkan pengumuman mengenai penggantungan tersebut melalui saluran-saluran komunikasi syarikat penerbangan yang tersedia,” menurut kenyataan.
Pada masa sama, Suruhanjaya mengarahkan MYAirline untuk menghentikan penjualan tiket dan tempahan tiket penerbangan di semua platform tempahan dengan segera, sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Terdahulu, MYAirline mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa hari ini, Khamis (12 Oktober).
Pengumuman dibuat menerusi satu kenyataan syarikat penerbangan itu mendedahkan keputusan sukar terbabit diambil berikutan tekanan kewangan selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.
Pada masa sama, MAVCOM turut menyediakan talian dan saluran khusus untuk membantu pengguna yang terkesan dengan penggantungan operasi MYAirline bagi membantu pengguna yang terjejas.
MAVCOM menasihatkan para pengguna terjejas yang telah membeli tiket penerbangan MYAirline bagi tarikh penerbangan dari 12 Oktober 2023 dan selanjutnya untuk menghubungi saluran aduan khas syarikat penerbangan tersebut di customercare@myairline.my bagi sebarang pertanyaan dan bantuan berhubung tempahan mereka.
Antara saluran khusus lain yang juga tersedia untuk membantu para pengguna terjejas ialah Hotline pengguna di talian 1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau 03-7651 2777 (luar negara), emel consumer@mavcom.my, borang aduan FlySmart di alamat https://flysmart.my/buat-aduan/ dan aplikasi mudah alih FlySmart yang boleh dimuat turun di Google Play Store and Apple App Store. -TVS