Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika melawat bangunan kilang baharu Taiyo Yuden hari ini. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS).

Lebih RM14 bilion pelaburan di Taman Teknologi Sama Jaya – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 12 Okt: Taman Teknologi Sama Jaya di sini telah berjaya memperoleh lebih RM14 bilion nilai pelaburan dan mencipta banyak ‘spin off’ ekonomi yang memberi manfaat kepada komuniti perniagaan tempatan negeri ini.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kawasan perindustrian bebas itu telah berjaya mencipta 15,000 peluang pekerjaan dengan 98 peratus daripadanya diisi oleh anak Sarawak.

Lebih RM14 bilion pelaburan di Taman Teknologi Sama Jaya | TVS

“Pada tahun 2022 sahaja, Sama Jaya menjana sejumlah RM758 juta gaji untuk pekerja, yang akhirnya mengalir kembali ke dalam ekonomi tempatan kita. Bagi tahun yang sama, nilai eksport yang dijana daripada Sama Jaya ialah RM8.9 bilion.

“Selain Taiyo Yuden, Sama Jaya juga menempatkan beberapa syarikat multinasional utama seperti X-FAB, Western Digital, LONGi dan Lotte EM yang berkembang masing-masing untuk memenuhi keperluan pasaran global.

“Mereka mempunyai rangkaian industri sokongan yang telah membentuk kelompok di sini dan untuk itu kita mengalu-alukan lebih banyak syarikat dalam rantaian nilai mereka untuk ditubuhkan di Sarawak bagi menyokong operasi mereka di Sarawak, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bangunan Kilang Baharu Taiyo Yuden di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merancang untuk membangunkan Taman Teknologi Tinggi Kuching secara berperingkat dengan keluasan 738.6 hektar terletak di sempadan Bahagian Kuching dan Samarahan.

Jelas beliau, projek itu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing terutama dalam sektor elektronik dan elektrik.

“Projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030, mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Taiyo Yuden pula, Abang Johari berkata, syarikat tersebut telah melabur lebih RM3 bilion dalam operasinya di Sarawak.

“Pada masa ini, ia adalah syarikat terbesar di Sama Jaya dengan 4,800 kakitangan iaitu hampir kesemuanya warga tempatan.

“616 iaitu bersamaan 12.8 peratus daripada jumlah tenaga kerja di Taiyo Yuden terdiri daripada pemegang ijazah dan diploma,” ujarnya.

Beliau berkata bangunan kilang dua tingkat baharu Taiyo Yuden yang terletak di tapak seluas 29 hektar adalah untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat untuk kapasitor seramik pelbagai lapisan sebagai tindak balas kepada kemajuan teknologi untuk kereta dengan lebih banyak komponen terkawal elektrik dan elektronik, infrastruktur komunikasi seperti servis dan peranti komunikasi negara asas, telefon pintar 5G dan pasaran lain. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan