KUCHING, 12 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menafikan bahawa anak beliau, Abang Abdillah Izzarim Abang Johari merupakan pelabur berpotensi baharu syarikat penerbangan tambang murah tempatan, MYAirline seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan hari ini.
Menurut Abang Johari, perkara itu disalah tafsir oleh pihak media susulan kehadiran anak beliau dalam satu sesi dialog syarikat yang dipercayai turut melibatkan MYAirline.
“Tidak, sebenarnya apa yang berlaku anak saya pergi ke sana dengan kawannya dan pada waktu itu ada sesi dialog syarikat. Jadi mereka membuat spekulasi.
“Anak saya pun serba salah, nak jalan pun susah disebabkan diperhatikan orang. Saya rasa perkara ini adalah tidak adil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bangunan Kilang Baharu Taiyo Yuden di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari turut menafikan kaitan pihaknya dengan MyAirline dalam penubuhan syarikat penerbangan butik milik Sarawak.
“Tiada, kita fokus dengan MASwings yang sekarang ini sedang dalam rundingan kini berkaitan butirannya lagi. Tiada kaitan dengan MyAirline,” tegasnya.
Terdahulu syarikat MyAirline mengumumkan penggantungan operasi berkuat kuasa Khamis (12 Oktober) berikutan tekanan kewangan selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.
Susulan daripada itu, timbul desas-desus mengenai syarikat itu yang akan menerima pelabur berpotensi iaitu anak kepada Premier Sarawak. – TVS