KUALA LUMPUR, 11 Okt: Usahawan Sabah dan Sarawak telah menerima pelbagai manfaat menerusi pelbagai program yang disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, seramai 490 usahawan ‘Pasar Tamu’ Sabah dan Sarawak menerima manfaat daripada Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.25 juta setakat 30 September lepas.
“TEKUN Nasional juga telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk usahawan Pasar Tamu melalui Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) bagi meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi golongan B40 di Sabah dan Sarawak.
“Bagi usahawan muda pula, TEKUN telah menyalurkan pembiayaan kepada 75 orang usahawan di Sabah dan Sarawak di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ali membangkitkan soalan mengenai langkah terkini Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkasa usahawan terutama daripada kalangan B40 serta usahawan muda di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak termasuk pelaksanaan Skim Geran Usahawan Orang Asal.
Selain itu, antara program lain dilaksanakan oleh KUSKOP ialah Program BEEP Plus Sabah dan Sarawak atau Program Peningkatan Enterprise Bumiputera di bawah Program Pengukuhan Mikro MADANI oleh SME Corp.
Melalui program ini, geran sebanyak RM10 juta telah disediakan khusus untuk usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang menawarkan bantuan secara Geran Padanan sehingga 70 peratus pembiayaan atau maksimum sebanyak RM250,000 bagi setiap kelulusan dan 73 permohonan telah diterima sejak ia dilancarkan pada 1 Oktober 2023.
Program Inclusive SME Ecosystem (I-SEE) oleh SME Corp yang menyediakan bantuan geran kepada inovator PMKS bagi memperkasa kumpulan B40 dan menggalakkan transformasi komuniti menerusi bimbingan dan penyediaan sokongan teknikal.
Bagi tempoh 2021 sehingga Ogos 2023, sejumlah 30 inovator PMKS telah mendapat manfaat dengan kelulusan geran berjumlah RM4.6 juta.
Untuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp yang menyediakan bantuan pembangunan kapasiti berbentuk latihan, geran permulaan perniagaan dan khidmat nasihat. Sejak tahun 2014, seramai 1,852 usahawan belia negeri Sabah dan Sarawak telah menerima geran sebanyak RM25.54 juta di bawah program TUBE ini.
Di bawah Program Be Your Own Boss (BYOB) pula, Pernas telah meluluskan pembiayaan kepada sembilan orang usahawan belia dengan melibatkan pembiayaan berjumlah RM3.26 juta di negeri Sabah dan Sarawak.-TVS