KUCHING, 11 Okt: Sarawak memerlukan lebih ramai pereka bentuk semikonduktor untuk membantu meningkatkan kualiti kelengkapan penjagaan kesihatan negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau memberikan sokongan sepenuhnya kepada anak muda yang ingin menceburi bidang baharu itu.
“Terdapat peluang yang besar kerana setiap peralatan baharu memerlukan rekaan semikonduktor dan cip elektronik yang baharu.
“Para pereka bentuk semikonduktor kita tidak perlu menghasilkan cip, hanya rekaannya sahaja kerana semikonduktor adalah pokok cip itu,” katanya pada Makan Malam Ulang Tahun Ke-5 Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) malam tadi.
Selain sektor kesihatan, semikonduktor memiliki peranan yang mustahak dalam industri automotif.
Abang Johari berkata, beliau telah dimaklumkan oleh X-Fab Sarawak Sdn Bhd tentang kepentingan penggunaan cip dalam industri tersebut.
“Kata mereka, satu kereta memerlukan sehingga 150 cip. Sekiranya kereta tidak lagi menggunakan bahan api, reka bentuk cip juga adalah berbeza dan industri tersebut adalah ke arah itu.
“Jadi dengan bantuan dan kerjasama bersama X-Fab, kita boleh menggalakkan para pelajar untuk menjadi mahir dalam mereka bentuk cip,” katanya. -TVS