DARO, 11 Okt: Seramai 1,177 orang mangsa scam dengan anggaran kerugian berjumlah RM12.5 juta bagi tempoh Oktober 2022 hingga September 2023 di Sarawak.
Menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dato’ Marzunisham Omar, 70 peratus daripada jumlah tersebut merupakan mereka yang berumur kurang daripada 40 tahun.
“Majoriti kategori kes scam dalam talian yang dilaporkan kepada NSRC daripada Sarawak adalah melibatkan penipuan e-dagang ataupun e-commerce scam, pinjaman yang tidak wujud dan penipuan telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Komuniti Cashless di sini hari ini.
Sementara itu katanya, antara bulan Oktober 2022 hingga September 2023 terdapat lebih kurang 53,800 mangsa scam dengan anggaran kerugian berjumlah RM188 juta di seluruh Malaysia.
Data tersebut dedahnya diperoleh daripada National Scam Response Centre (NSRC) yang ditubuhkan oleh BNM.
Tegas beliau, BNM memandang serius masalah scam dan bagi membendung isu ini, pihaknya bekerjasama dengan institusi perbankan kewangan serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Di pihak Bank Negara, kita telah mengarahkan bank-bank untuk mengadakan, melaksanakan beberapa langkah untuk memastikan perbankan internet, perbankan secara talian, rebat kekal selamat.
“Pada masa yang sama, sebagai pengguna kita perlu memainkan peranan supaya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa scam,” ujarnya.
Tambahnya lagi, berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh BNM pada tahun 2021 didapati bahawa lebih satu per tiga daripada pengguna, mengguna perbankan talian telah berkongsi kata laluan atau no pin akaun bank mereka dengan kenalan rapat.
Jelasnya, ini adalah satu perkara yang tidak boleh dilakukan.
Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam melindungi perbankan dan maklumat berkaitan peribadi khususnya kata nama dan kata akaun perbankan dalam talian.
Dalam pada itu, beliau juga berpesan kepada pengguna untuk tidak menekan pautan mencurigakan yang dihantar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Pihaknya telah mengarahkan semua bank supaya tidak menghantar SMS yang mempunyai pautan.
“Jadi kalau tuan-tuan terima sms kata daripada bank, dan suruh klik pada pautan itu, itu adalah scam.
“Jangan sesekali klik pada pautan itu. Hanya muat turun aplikasi daripada saluran rasmi,” katanya lagi. – TVS