KUCHING, 11 Okt: Mahkamah Majistret Kuching menolak permohonan reman empat individu termasuk seorang pengarah jabatan kerajaan, dua penjawat awam dan seorang pengurus pelaburan amanah yang disyaki terlibat memberi dan menerima suapan bernilai jutaan ringgit termasuk dalam bentuk kenderaan dan kediaman.
Menurut peguam yang mewakili suspek, Roger Chin, SPRM meminta masa untuk mendapatkan semula dokumen berkaitan seperti penyata bank untuk membantu siasatan mereka.
Bagaimanapun, peguam suspek membantah bahawa tiada keperluan untuk menahan reman keempat-empat suspek jika perlu mendapatkan semula dokumen-dokumen berkenaan.
Ekoran itu, Majistret Zubaidah menolak permohonan reman oleh SPRM.
Terdahulu, tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50-an terbabit ditahan kira-kira jam 7.30 malam tadi di Pejabat SPRM Sarawak ketika diminta hadir memberikan keterangan.
Suspek utama disyaki menerima suapan sejak 2018 hingga 2021 daripada pemilik syarikat sebagai balasan membantu syarikat tersebut mendapatkan dua projek membabitkan bekalan air yang berjumlah kira-kira RM44.4 juta.
Manakala pengurus pelaburan amanah pula ditahan kerana disyaki menerima bayaran wang rasuah dan kediaman bagi pihak suspek utama.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009. -TVS