KUALA LUMPUR, 11 Okt: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual di setiap negeri di Malaysia berdasarkan keperluan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri ketika ini tribunal tersebut hanya ditubuhkan di Kuala Lumpur sahaja sebagai permulaan dan akan meneliti keperluan di masa hadapan bagi penambahan ke negeri-negeri.
“Walau bagaimanapun, Seksyen 12(3) Akta Antigangguan Seksual 2022 memperuntukkan bahawa tribunal boleh bersidang dalam satu atau lebih persidangan pada mana-mana hari, bila-bila masa dan dimana-mana tempat sebagaimana ditentukan oleh Presiden.
“Ini bermakna sekiranya ada keperluan untuk tribunal bersidang di negeri lain, maka ia nya boleh dilaksanakan melalui peruntukkan undang-undang dalam akta ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi yang membangkitkan mengenai sama ada tribunal ini akan ditubuhkan di seluruh negeri seperti Tribunal Pengguna.
Mengulasa lanjut, Nancy memaklumkan belum ada perlantikan panel tribunal dilakukan setakat ini memandangkan pengumuman kelulusan oleh JPA mengenai penjawatan bagi penubuhan tribunal ini hanya dimaklumkan baru-baru ini.
Untuk rekod, pada 10 Oktober 2023 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah dimaklumkan secara rasmi bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan penjawatan bagi penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual.
Penubuhan Tribunal ini bertujuan untuk menyediakan satu platfrom alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum. Tribunal ini juga menyediakan platform bagi suatu hak tebus rugi (right of redress) kepada mangsa yang telah diganggu secara seksual.
Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840] dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac 2023. Fasa pertama penguatkuasaan Akta ini adalah melibatkan advokasi gangguan seksual kepada orang awam manakala penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual pula adalah pada Fasa yang kedua.
“Bagi melaksanakan keperluan fasa pertama, KPWKM pada masa ini memberi fokus untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat umum mengenai Akta 840 serta mengetahui betapa seriusnya isu yang melibatkan gangguan seksual.
“Perkara ini diterjemahkan menerusi Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual yang telah dirangka untuk diadakan di setiap negeri,” tambahnya. -TVS