Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelerasan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil. 2/2023 di Kuching. Foto: TVS

Penubuhan 10 agensi luar bandar Sarawak langkah ‘game changers’ – TPM Zahid

ByMuqri Aziz

KUCHING, 11 Okt: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan inisiatif Kerajaan Sarawak menubuhkan 10 agensi luar bandar di negeri ini merupakan satu langkah ‘game changers’ (agen perubahan) kepada sosioekonomi setempat.

Beliau mengakui langkah Kerajaan Sarawak itu telah banyak membawakan siri kemajuan luar bandar termasuk membangunkan serta memajukan kawasan luar bandar di negeri ini.

“Kita juga melihat dari segi beberapa kemajuan yang telah dibuat oleh Sarawak sendiri dengan pengwujudan 10 agensi pembangunan di 10 kawasan di Sarawak.

“Ini adalah merupakan game changer yang harus dipelajari juga oleh negeri-negeri lain dan tentunya komitmen berteknologi tinggi tanpa melupakan prinsip-prinsip asas keperluan penduduk di kawasan pedalaman turut diperkirakan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelerasan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bil. 2/2023 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menjelaskan beberapa perubahan drastik akan dilakukan kementeriannya kepada beberapa agen perubahan yang bersesuaian dengan pembangunan luar bandar yang bukan hanya soal infrastruktur, bekalan api, air dan projek-projek kemudahan luar bandar.

Oleh itu, ujar beliau KKDW akan terus memberi penekanan terhadap kursus-kursus berteknologi tinggi yang ditawarkan 251 Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

“Kita akan memberikan penekanan terhadap kursus-kursus berteknologi tinggi terutamanya yang bersesuaian dengan permintaan guna tenaga di pasaran industri yang ada.

“Ini adalah bagi menukarkan minda daripada bakal-bakal mencari kerja dan usahawan yang berbentuk ‘white collar’ kepada ‘blue collar job’ yang menjanjikan imbuhan yang melebihi daripada hakikat pasaran biasa,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, perkongsian pendekatan yang didedahkan dalam mesyuarat itu juga dilihat dapat mengimbangi untuk diselaraskan antara penduduk luar bandar, pinggir bandar dan bandar.

Terdahulu mesyuarat berkenaan menyaksikan tiga kertas kerja dibentangkan antaranya mengenai Haluan Baharu KKDW oleh Ketua Setiausaha KKDW Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula membentangkan Hala Tuju Baharu: Memperkasakan Ekosistem MARA dalam Memperbaharui Agenda Pembangunan Luar Bandar oleh Pengerusinya Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki.

Mesyuarat kali ini dihadiri oleh wakil Kabinet Sarawak, Exco Luar Bandar Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Kedah, Melaka, Johor dan Perlis.

Kali terakhir mesyuarat berkenaan diadakan adalah pada awal tahun ini di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Zahid sendiri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan