Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar hiasan. Foto: Bernama.

Ingin berkahwin, masalah keluarga punca murid tidak berminat ke sekolah

ByFebbright James

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ingin berkahwin dan mahu bekerja antara punca murid berhenti ke sekolah selain tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata data tersebut diperoleh berdasarkan rekod dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dari tahun 2019 hingga 2023.

Berkahwin, tiada minat antara punca murid berhenti sekolah | TVS

Menurutnya faktor lain yang menjadikan murid berhenti sekolah adalah disebabkan sukar ke sekolah kerana faktor jarak.

Walaubagaimanapun jelasnya, kadar keciciran murid menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 kepada tahun 2022.

“Kadar keciciran murid pada peringkat rendah menurun daripada 0.12 peratus pada tahun 2019 kepada 0.07 peratus pada tahun 2022. Pada peringkat menengah pula, kadar keciciran menurun daripada 1.14 peratus pada tahun 2019 kepada 0.99 peratus pada tahun 2022.

“Namun, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) akan memuktamadkan data kadar keciciran murid bagi tahun 2023 selepas menerima maklumat kemasukan dari agensi selain KPM.

“Bagi tempoh 2019 hingga 2022, pada peringkat sekolah rendah keciciran murid yang melibatkan tahun tiga, tahun empat dan tahun enam menunjukkan peningkatan manakala tahun dua dan tahun lima menunjukkan tiada keciciran murid dan penurunan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkaitan kadar keciciran dari sistem sekolah dan pecahan sebab-sebab keciciran mengikut tahun, umur dan jantina dari tahun 2019 sehingga Jun 2023 bagi setiap negeri dan apakah langkah supaya mereka kembali bersekolah.

Beliau menambah pada peringkat sekolah menengah pula, berlaku peningkatan kadar keciciran murid bagi tingkatan 2 dalam tempoh tahun 2019 hingga 2022 manakala terdapat penurunan kadar keciciran yang melibatkan tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan lima dalam tempoh berkenaan.

Ujarnya, kadar keciciran murid mengikut jantina pula, pada peringkat sekolah rendah menunjukkan tiada keciciran murid perempuan berbanding murid lelaki bagi tahun 2019 hingga tahun 2022. Kadar keciciran murid lelaki menunjukkan trend penurunan dari tahun 2019 hingga tahun 2022 iaitu 0.16 peratus pada tahun 2019 kepada 0.09 peratus pada tahun 2022.

“Pada peringkat sekolah menengah pula, kadar keciciran murid lelaki menunjukkan penurunan berbanding kadar keciciran murid perempuan yang meningkat dari tahun 2019 kepada tahun 2022.

“Pada tahun 2019, kadar keciciran murid lelaki mencatatkan 0.72 peratus berbanding 0.29 peratus pada tahun 2022. Kadar keciciran murid perempuan pula mencatatkan 0.40 peratus pada tahun 2019 kepada 0.71 peratus pada tahun 2022.

Mengulas lanjut, KPM telah melaksanakan pelbagai program dan bantuan untuk murid yang tercicir akibat kemiskinan seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Makanan Asrama (BMA), Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid Asrama (PPM) dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS).

“Selain itu, KPM juga memperluaskan konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11). Konsep Sekolah Model Khas K11 ini juga dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4. Sebagai permulaan, KPM telah memulakan program rintis K11 di SK RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang dan di SK Long Bedian, Baram, Sarawak,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Lim memaklumkan KPM kini sedang menyediakan rang undang-undang pendidikan pindaan bagi cadangan melanjutkan pendidikan wajib dari peringkat pendidikan rendah ke pendidikan menengah dan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk sesi libat urus bersama-sama dengan pihak yang berkepentingan seperti agensi kerajaan berkaitan, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM), Kesatuan perguruan Kebangsaan NUTP dan badan bukan kerajaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan