Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng merakam kenangan selepas sidang media di MBKS, Kuching pada hari ini. Foto: TVS

Festival Kebudayaan Cheongsam di Kuching kembali pada 21 Okt ini

KUCHING, 11 Okt: Festival Kebudayaan Cheongsam dengan tema ‘Love of Cheongsam, Beauty of East’ kali kedua kini kembali mewarnai Sarawak pada 21 Oktober ini.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, festival itu bertujuan untuk mempamerkan kekayaan warisan pelbagai etnik di Sarawak di samping meraikan kepelbagaian budaya.

“Festival Kebudayaan Cheongsam ini bertujuan untuk mempamerkan kekayaan warisan pelbagai etnik di Sarawak. Salah satu objektif utama adalah untuk memupuk rasa bangga dalam komuniti dan meraikan kepelbagaian budaya.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dan ikatan dalam komuniti dalam kalangan organisasi awam dan swasta.

“Festival ini dirancang untuk berlangsung di dua lokasi yang berbeza di lokasi yang berdekatan iaitu di Taman Persahabatan Malaysia-China (Taman Sahabat) dan satu lagi akan berada di Dewan Masyarakat MBKS.

“Program pada festival itu nanti akan padat dengan aktiviti menarik. Antaranya ialah aktiviti Walk in the Garden, Catur di Taman, Fun Life Sketch Workshop dan pameran menarik Chinese Diabolo yang dijadualkan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Taman Persahabatan Malaysia-China (Taman Sahabat).

“Sementara itu, Dewan Masyarakat MBKS akan meriah dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Cheongsam Asia Sarawak bermula dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya pada sidang media di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kuching di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Persekutuan Persatuan Wanita Cina Sarawak, Jong Phee Fong dan Pengerusi Penganjur Festival Kebudayaan Cheongsam, Anna Lau.

Festival anjuran Persekutuan Persatuan Wanita Cina Sarawak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) ini telah disokong dan dibiayai oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Pertandingan Cheongsam Asia Sarawak 2023 ini akan dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu kumpulan A, (umur 18 hingga 45 tahun), kumpulan B (umur 45 tahun dan ke atas) dan kumpulan C (umur 5 hingga 12 tahun).

Penyertaan adalah terbuka kepada kategori individu mahupun berkumpulan.

Bagi yang berminat untuk menyertai Pertandingan Cheongsam Asia Sarawak 2023 ini boleh dapatkan borang penyertaan dan menghantar borang penyertaan pada 14 Oktober 2023 (Sabtu).

Pemenang bagi setiap kategori Pertandingan Cheongsam Asia Sarawak 2023 akan memenangi wang tunai berserta jambangan bunga.

Terdahulu, pada tahun lepas Persekutuan Persatuan Wanita Cina Sarawak telah mencatat rekod dalam ‘Malaysia Book of Record’ pada Oktober 2022 dengan mengumpulkan penyertaan seramai 316 peserta berbaju cheongsam. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan