SERIAN, 11 Okt: Pengurusan Pusat Akuakultur Ikan Empurau di Borneo Empurau Farm and Resort (BEFR) di sini wajar dicontohi pemain industri di negeri lain.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata perniagaan di kawasan desa seperti itu berpotensi diterokai sebagai projek pertanian berkonsepkan pelancongan.
“Ini merupakan beberapa contoh baik yang boleh dibawa pulang (oleh menteri atau exco) ke negeri masing-masing untuk dilaksanakan.”
Beliau yang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, pusat akuakultur itu juga bertujuan untuk meningkatkan bekalan empurau liar yang semakin berkurangan di negeri ini malah, mampu meningkatkan pendapatan Sarawak melalui eksport ikan ini ke pasaran luar negara.
“Hasilnya, ia boleh meningkatkan pendapatan negeri Sarawak melalui eksport ikan ini ke pasaran luar negara seperti China, Taiwan, Jepun dan Eropah.
“Sehingga kini, pusat ini telah membangunkan sebuah tempat persenyawaan yang mampu menghasilkan kira-kira 5000 telur empurau setahun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Borneo Empurau Farm and Resort di Serian, pada Rabu.
Lawatan diketuai beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut disertai seramai 110 ahli Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB).
Lawatan berkenaan antara lainnya bertujuan untuk melihat lebih dekat projek pembangunan yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai penanda aras konsep pembangunan ekonomi yang boleh diperlajari dan diadaptasi di negeri lain oleh kepada Exco-Exco Luar Bandar. -TVS