KUCHING, 9 Okt: Anugerah Teater Malaysia 2023 yang berlangsung pada 7 Oktober lalu merupakan program anugerah yang mengangkat martabat karya pentas melalui penghargaan dan pengiktirafan kepada pemain industri teater di Malaysia.
Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching berjaya membawa pulang lima anugerah dari sembilan kategori yang telah dipertandingkan melalui teater muzikal yang berjudul ‘Arumbulak’ yang memperolehi anugerah bagi kategori teater muzikal.
Salah seorang pemenang pelakon lelaki terbaik kategori teater muzikal yang ditemui, Ahmad Azam Pit @ Azam Pitt berkata, kemenangan ini merupakan pencapaian pertama beliau sebagai seorang pelakon dalam bidang teater.
“Saya berasa sangat gembira kerana telah memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik walaupun saya tidak dapat menghadiri Anugerah Teater Malaysia 2023 ini. Saya berasa segala penat lelah telah membuahkan hasil.
“Saya tidak menyangka akan kemenangan ini kerana ia merupakan lakonan teater pertama saya. Anugerah ini menjadi pemangkin semangat untuk saya dan ahli kumpulan teater untuk melakukan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya
Manakala, bagi Tini Tyrani Adurahman berkata, kemenangan beliau sebagai pengarah terbaik kategori teater muzikal ini akan menjadi pendorong untuk beliau menghasilkan karya yang lebih berkualiti pada masa akan datang dengan kerjasama daripada semua tenaga kerja.
“Alhamdulillah, ini adalah kemenangan saya yang pertama setelah 25 tahun dalam bidang industri teater sebagai pengarah. Namun, ini adalah pertama kali saya menjadi pengarah dan saya bersyukur kerana adanya ahli kumpulan teater yang kuat.
“Sebenarnya, tiada cabaran dalam proses menjalankan teater ‘Arumbulak’ kerana semua ahli kumpulan memberikan kerjasama, komitmen dan semua menikmati prosesnya dengan gembira. Kemenangan ini akan jadi pembakar semangat dalam menghasilkan karya yang lebih berkualiti,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Sanggar Kreatif Kuching, Taridi Mohamad berkata, pihaknya akan terus mengkaji potensi teater di Sarawak untuk dibawa ke peringkat seterusnya.
“Kita merancang pada tahun hadapan, kita akan menyertai lagi Anugerah Teater Malaysia yang turut digalakkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Sarawak. Alhamdulillah rezeki kita pada tahun ini memenangi beberapa anugerah. Kita akan mengkaji strategi yang lebih berkesan lagi bagi memperkembangkan industri teater di Sarawak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selepas tiba dari Kuala Lumpur semalam untuk Majlis Makan Malam Anugerah Teater 2023 yang berlangsung pada 7 Oktober lalu di Matic, Kuala Lumpur.
Anugerah yang diperolehi pada malam tersebut ialah Ahmad Azam Pit @ Azam Pitt (Pelakon Lelaki Terbaik), Sharifah Elya Nabila (Pelakon Wanita Terbaik) dan Shahrul Iskandar (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik), Tini Tyrani Adurahman (Pengarah Terbaik) dan teater ‘Arumbulak’ juga memenangi anugerah teater muzikal terbaik. – TVS