BUTTERWORTH, 9 Okt: Dua pekerja kilang yang merupakan rakan serumah ditahan polis selepas terbabit dalam kegiatan menghasilkan bom buatan sendiri di sebuah flat di Taman Pandan di sini, semalam.
Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan wanita warga asing berusia 37 tahun ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian letupan yang telah mengejutkan penghuni lain.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Asri Shafie berkata, seorang penghuni flat wanita telah menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan satu bungkusan berisi bahan letupan pada pukul 1.05 tengah hari.
Ujarnya, saksi memaklumkan letupan telah berlaku pada pukul 12.56 tengah hari di koridor hadapan sebuah rumah sebelum Unit Pemusnah Bom, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) polis digerakkan ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahan letupan itu adalah peranti letupan buatan sendiri (IED). Polis kemudiannya berjaya memberkas kedua-dua suspek di kawasan flat kira-kira pukul 8.30 malam tadi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, hasil soal siasat terhadap suspek lelaki kemudiannya berjaya menemui satu lagi bom buatan sendiri di dalam flat itu.
“Polis turut merampas sepucuk pistol dan peluru buatan sendiri dan kerambit daripada suspek.
“Dia mengaku mempelajari cara membuat bom melalui laman web dan bahan-bahannya diperolehi melalui pembelian dalam talian,” katanya lagi.
Tambah Mohd Asri, pihaknya bagaimanapun sedang melakukan siasatan lanjut berhubung motif kejadian dan dikatakan tiada kaitan dengan akitiviti pengganas.
“Kedua-dua suspek yang tiada rekod jenayah lampau itu didapati negatif ujian saringan air kencing.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya. – TVS