KUALA LUMPUR, 9 Okt: PDRM FC gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri selepas diikat 1-1 oleh Kuching City FC pada aksi tunggal Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Walaupun menguasai separuh masa pertama, namun ‘The Cops’ jelas buntu menembusi kubu pertahanan pelawat sebelum percubaan lambung penyerang dari Nigeria, Uche Agba memecah kebuntuan pada minit ke-45.
Jaringan tersebut langsung tidak mematahkan semangat Kuching City untuk kembali berada dalam permainan dan hasilnya penyerang kelahiran Liberia, Abu Kamara berjaya menyamakan kedudukan selepas menyambut hantaran silang pemain gantian, Zahrul Nizwan Joe Kifli pada minit ke-58.
Pelawat yang meningkatkan ancaman ke kubu PDRM FC hampir berada di depan namun aksi tangkas penjaga gol tuan rumah, Mohamad Ramdhan Ab Hamid, menafikan dua percubaan masing-masing oleh penyerang dari Timor Leste, Pedro Henrique, pada minit ke-59 disusuli tolakan Kamara pada minit ke-65.
Pasukan dari Sarawak itu sekali lagi nyaris pulang dengan tiga mata sebelum tandukan pemain tengah dari Jepun, Yuki Tanigawa, sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol PDRM FC pada minit ke-81.
Keputusan seri tersebut menyaksikan PDRM FC kekal di tangga kelapan dengan 28 mata.
Kuching City pula yang masih gagal menamatkan kemarau 21 perlawanan tanpa kemenangan memintas Kelantan FC dan naik satu anak tangga untuk berada di tempat ke-13 dengan lapan mata.- TVS