Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Julaihi Narawi pada sidang media mengenai pelanjutan diskaun bil elektrik menerusi BKSS di Kuching, hari ini. Foto: TVS

BKSS: 700,000 pengguna terima manfaat diskaun bil elektrik berjumlah RM203.7 juta

KUCHING, 9 Okt: Kerajaan Sarawak akan meneruskan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2023 kepada pengguna domestik, peniaga kecil komersil dan peniaga kecil industri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, diskaun bil elektrik bulanan diberikan sehingga 25 peratus bagi pengguna domestik, manakala sehingga 15 peratus bagi peniaga kecil komersil dan sehingga 10 peratus bagi peniaga kecil industri.

“Bantuan khas diskaun bil elektrik ini akan memberi manfaat kepada 700,000 pengguna di seluruh Sarawak.

“Diskaun yang dianggarkan bernilai RM123 juta untuk pengguna domestik dan RM80.7 juta untuk peniaga kecil ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, jumlah keseluruhan diskaun daripada 1 Julai hingga 31 Disember 2023 adalah dijangka RM203.7 juta.

Bagi pengguna domestik, penggunaan elektrik Julai hingga Oktober 2023 diskaun akan dimasukkan ke dalam bil Disember 2023.

Penggunaan elektrik November dan Disember 2023, diskaun akan dimasukkan masing-masing dalam bil November, Disember dan Januari 2024.

“Pasukan petugas khas Sarawak Energy Berhad akan membuat pelarasan dan pengiraan bil sewajarnya agar pelanggan dapat menerima diskaun mereka bermula dari Julai tahun ini,” ujarnya.

Para peniaga kecil boleh memohon diskaun bil bulanan. Kelayakan diskaun tersebut bergantung dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 30,000kWj untuk tempoh daripada 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

Tambah Julaihi, ia terhad kepada pengguna kategori tarif perniagaan komersial biasa (C1) dan industri biasa (I1). Maksudnya 5,000 kWj sebulan secara purata. Had (capping) adalah 30,000 kWj untuk jangka masa 6 bulan.

“Pakej bantuan BKSS telah diperkenalkan pada Mac 2020 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan akibat penularan wabak Covid-19.

“Wabak Covid-19 kini telah berada dalam fasa endemik. Pemansuhan sekatan perjalanan dan perniagaan di seluruh dunia termasuk Malaysia telah membolehkan pengguna komersil dan industri kini menjalankan perniagaan mereka seperti biasa,” katanya.

Kerajaan telah membelanjakan sekitar RM1.15 bilion untuk inisiatif ini sejak mula diperkenalkan pada 1 April 2020 hingga 30 Jun 2023. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan