KUCHING, 9 Okt: Perjuangan anak seni tempatan dihargai menerusi Anugerah Seni Budaya Sarawak yang diadakan pada 22 Oktober ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata anugerah itu bertujuan mengiktiraf individu, aktivis, seniman yang konsisten dalam mana-mana cabang dalam bidang seni.
Menurutnya, anugerah berkenaan diharap dapat menggalakkan penghasilan karya atau produk seni yang berdaya saing dan bermutu tinggi serta meningkatkan lebih ramai penggiat-penggiat seni budaya yang berbakat bagi mengangkat seni budaya Sarawak di peringkat kebangsaan dan dunia.
Anugerah yang diadakan di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak itu melibatkan enam kategori seni dan budaya iaitu seni tari, seni muzik, seni teater, seni berbahasa, seni mempertahankan diri dan permainan tradisional.
“Menerusi lima kategori anugerah yang akan disampaikan kepada 11 orang penerima, daripada jumlah tersebut, sembilan anugerah dibuka untuk pencalonan dan dua anugerah tertutup tidak dibuka untuk pencalonan,” kata pada sidang media di sini, hari ini.
Majlis itu juga akan menyampaikan Anugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak, Anugerah Pendukung Seni Sarawak Untuk Media dan NGO, Anugerah Sri Apresiasi Seni Sarawak dan Anugerah Nilakandi Seni Sarawak.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, semua calon akan dinilai jawatankuasa khas pada 2023.
“Penerima Anugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak akan menerima wang tunai RM5,000, bersama-sama trofi dan juga sijil penghargaan, manakala penerima anugerah kategori lain masing-masing akan menerima wang tunai RM3,000 bersama-sama dengan trofi dan sijil penghargaan,” katanya. – TVS