SIBU, 7 Okt: Sibu Jaya terus mengalami pembangunan pesat sekali gus mengubah landskap kawasan perbandaran itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sibu Jaya kini bukan lagi kawasan luar bandar, malah seumpama sebuah bandar raya yang cantik sekali.
Katanya, perpaduan penduduk berbilang kaum, agama dan latar belakang telah menjadi pemangkin kepada keharmonian Sibu Jaya.
“Saya ucapkan tahniah kepada orang Sibu Jaya kerana dapat hidup bersama dalam keadaan yang begitu harmoni sekali. Masyarakat Iban, masyarakat Melayu, masyarakat Melanau, masyarakat Cina duduk macam satu keluarga yang bahagia, tanpa mengira latar belakang.
“Mereka dapat bersama seperti satu keluarga di bawah satu bumbung yang sinonim dengan konsep Segulai Sejalai,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Konsert Sibu Jaya 2023 di Sibu Jaya di sini, malam ini.
Abang Johari menambah, kemajuan yang dapat dilihat di Sibu Jaya jelas menunjukkan Kerajaan Sarawak akan terus berusaha membangunkan negeri dalam keadaan aman dan makmur.
Sementara itu, orang ramai yang hadir di konsert tersebut turut terhibur dengan penampilan khas Datuk Patinggi Tan Srei Abang Johari dan juga Tan Sri Azman Hashim.
Konsert tersebut turut menampilkan artis terkemuka tanah air termasuk Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Bob Yusuf, Melissa Francis, Lucy M dan The Family Man.
Sekitar 10,000 pengunjung telah hadir membanjiri Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim sempena konsert tersebut.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Michael Tiang Ming Tee, Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Tun D Openg, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amcorp Berhad, Tan Sri Azman Hashim, Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng, Pengerusi, AMMB Holdings Berhad (AmBank), Tan Sri Md Nor Md Yusof serta tetamu kehormat yang lain. -TVS