LIMBANG, 8 Okt: Majlis Daerah Limbang (MDL) yang ditubuhkan 75 tahun lalu terus relevan dalam menjalankan peranannya yang semakin kompleks dan mencabar dalam menjaga dan menyelenggara bandar dan kampung-kampung di daerah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, MDL juga berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam mengekalkan persekitaran yang kondusif dan bersih di bandar ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menjelaskan kebersihan bandar dan kampung-kampung ini amat penting dalam menarik kemasukan pengunjung ke daerah berkenaan selain tugas menyelenggara kemudahan dan prasarana awam yang ada.
“Kerja MDL satu kerja yang mulia menjaga bandar Limbang dan kampung-kampung dipelusuk daerah.
“Kalau di Semenanjung cuma bandar saja di bawah pihak berkuasa tempatan, tapi di Sarawak keseluruhannya termasuk di Long Napir di bawah MDL.
“Memang sangat mencabar kerana kerja-kerja yang diamanahkan kepada mereka untuk menjaga kebersihan dalam menarik pengunjung datang,” katanya.
Dr Abdul Rahman berkata demikian pada Malam Kebudayaan Sempena Hari Bukit Mas di Dataran Amphitheater, malam tadi.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal, Wali Kota MDL Kaunselor Sufian Mohat dan Isteri Dr Abdul Rahman, Datin Dayang Maimunah Awang Mohd Daud.
Beliau menambah lagi semua pihak termasuk masyarakat setempat perlu berganding bahu dalam memberikan kerjasama kepada MDL untuk memastikan bandar ini bersih dan indah.
“Tapi penting supaya kebersihan dapat dijaga, lampu jalan, longkang-longkang dibersihkan bagi mengelak tersumbat, sampah-sampah perlu dikutip dan ia kerja yang sangat mencabar.
“Kita berterima kasih kepada MDL kerana bandar Limbang antara bandar yang terbersih di Sarawak dan kita memohon kerjasama daripada masyarakat untuk sama-sama membantu sebab kekuatan kita di Limbang adalah dari segi pelancongan,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman menjelaskan Limbang mempunyai kekuatan dan keunikan dari aspek budaya, aktiviti lasak, alam semula jadi dan makanan (CANF) dalam menarik kemasukan pengunjung luar ke daerah berkenaan.
Menurutnya, kepelbagaian suku etnik yang terdapat di Limbang, program lasak seperti tarik kalat antarabangsa, keindahan Gunung Buda dan kepelbagaian makanan dan produk tempatan menjadikan daerah ini amat unik di mata pengunjung luar. – TVS