JAKARTA, 8 Okt: Indonesia menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta antara Palestin dan Israel bagi mengelak peningkatan angka korban.
Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dalam kenyataannya berkata, pihak Indonesia amat prihatin dengan konflik yang semakin meningkat dan pantas dengan serangan besar-besaran.
“Kami amat bimbang serangan itu sangat pantas dan besar antara kedua-dua mereka, mengakibatkan peningkatan korban, jadi ini mesti dihentikan,” katanya.
Menurutnya, punca konflik iaitu pendudukan wilayah Palestin oleh Israel perlu diselesaikan mengikut parameter yang dipersetujui PBB.
Bukan itu sahaja, Retno turut mengecam serangan yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza yang menyasarkan hospital termasuk hospital milik Indonesia.
Insiden itu mengakibatkan kematian seorang pegawai MER-C dan kemusnahan sebuah ambulans akibat serangan bom dron. – TVS