BINTANGOR, 7 Okt: Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab sempat menyantuni mangsa kebakaran Rumah James Brandah, Muara Bunut sekembalinya beliau dari luar negara hari ini.
Yusuf yang baharu sahaja selesai menghadiri Kongres Jalan Sedunia ke-27 anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) di Republik Czech bergegas pulang Sarawak sebelum menemui dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa.
Beliau yang turut menzahirkan perasaan sedih dengan kejadian itu berharap semua mangsa tabah menghadapi dugaan yang menimpa.
“Kejadian ini mengakibatkan 38 orang penghuni Rumah James hilang tempat tinggal.
“Bagaimanapun, saya bersyukur tiada kecederaan dan kemalangan jiwa. Semua mangsa dilaporkan selamat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Insiden kira-kira jam 3.30 petang itu turut menjejaskan tiga buah rumah dan sebuah dewan yang berhampiran.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Pengusaha Bomba Nicholas Belulin berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3.33 petang.
“Untuk tiba di lokasi yang terletak di seberang Bintangor itu, jentera bomba terpaksa menaiki feri Sungai Sian.
“Setiba di lokasi, rumah panjang yang berstruktur tidak kekal itu terbakar 100 peratus. Bagaimanapun, kesemua penghuninya terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – TVS