HANGZHOU, 7 Okt: Pelbagai cabaran dan rintangan yang terpaksa dilalui Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik termasuk kecederaan sebulan sebelum Sukan Asia Hangzhou namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk memberikan aksi cemerlang untuk meraih emas hari ini.
Atlet berusia 23 tahun itu berkata, beliau terpaksa bertarung dengan kesakitan dengan mengambil ubat tahan sakit pada final acara Kumite (tempur) bawah 84 kilogram (kg) lelaki untuk menewaskan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, Daniyar Yuldashev dari Kazakhstan 10-4 di Gimnasium Pusat Sukan Linping, di sini.
Tidak cukup dengan kecederaan sebelum itu, beliau yang mendahului 9-4 dengan berbaki 15 saat untuk pertarungan tamat, mengalami kecederaan di mata kanan selepas ditumbuk kuat oleh lawannya yang cuba membuat serangan balas ketika Arif Afifuddin cuba menyerang.
Namun, atlet dengan ketinggian 1.83m itu, tabah menamatkan pertarungan untuk merangkul emas keenam Malaysia pada Sukan Asia kali ini sekali gus menamatkan penantian sembilan tahun skuad karate negara untuk meraih emas Sukan Asia.
“Tiada kata-kata dapat menggambarkan kemenangan ini kerana saya datang ini saya melalui beberapa cabaran seperti kecederaan. Cabaran seperti tidak dapat lakukan latihan disebabkan kecederaan belakang dan rusuk semasa latihan,” katanya kepada pemberita selepas pertarungan final itu.
Arif Afifuddin berkata, pingat emas tersebut sangat bermakna bagi beliau dan mendedikasikannya kepada ibu bapa dan keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat kepada beliau.
“Masa final Sukan SEA (Filipina 2019), mereka datang menyaksikan perlawanan tetapi masa itu saya kalah. Tetapi bila saya menang di sini, walaupun mereka di Malaysia, saya tahu mereka bangga dengan saya,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy memuji Arif Afifuddin yang berjaya mempamerkan aksi yang baik walaupun bergelut dengan kecederaan.
Menurutnya, atlet itu juga tidak tertinggal sesi latihan walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan masih mengikuti sesi fisioterapi.
“Ini merupakan pencapaian yang sangat baik bagi Malaysia. Selepas kita bekerja siang dan malam, kita berjaya mencapai sasaran memenangi sebutir emas. Selepas ini, pasukan kebangsaan akan bersedia untuk Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary dari 24 hingga 29 Okt ini. Kami berharap dapat mencapai kejayaan yang baik di sana,” katanya.
Ini pingat ketiga dari kem karate setelah Lovelly Anne Robberth menghadiahkan pingat perak acara Kata individu wanita sebelum berganding dengan Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil untuk perak acara Kata berpasukan..
Kali terakhir karate negara meraih emas Sukan Asia adalah pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, menerusi Lim Chee Wei (Kata lelaki) dan Syakilla Salni Jefry Krisnan (Kumite 61kg wanita). -TVS