KUCHING, 7 Okt: Proses perubahan Sarawak menuju bandar pintar diyakini memudahkan kehidupan rakyat selaras dengan era digitalisasi.
Menurut Pakar Kanan, Promosi Bandar Pintar, Agensi Promosi Ekonomi Digital Jabatan, Thailand, Dr Non Arkaraprasertkul, proses perubahan ini sekali gus memberi menambah nilai kepada ekonomi Sarawak, selaras dengan PCDS 2030.
Dr Non Arkara menambah segala data yang dikumpul boleh dijadikan algoritma untuk membentuk sistem yang mencipta bandar pintar.
Pendigitalan data ini jelasnya akan menjadi satu aset berharga untuk perkembangan digital ekonomi Sarawak.
“Kita akan mengurangkan tenaga buruh yang pernah menjadi sebahagian daripada industri, kita akan mempunyai banyak bakat yang dilepaskan daripada menjadi buruh yang akan bekerja dalam domain bakat, domain kreatif yang saya fikir lebih berharga kepada industri Sarawak.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Dr Non Arkara berkata, membina sebuah bandar pintar bukan hanya mencipta sebuah bandar baru semata-mata dan boleh dibina dengan sumber yang sedia ada untuk penjimatan ekonomi.
“Bandar bukan hanya terdiri daripada bangunan konkrit tetapi bandar adalah unik kerana warisan, budaya, semangat kekitaan.
“Kita memerlukan pemahaman tentang cara menarik orang ramai datang ke bandar, itulah yang kita cuba fahami dan dalam perspektif bandar pintar dari bawah bagaimana kami menjadikan bandar kita yang telah wujud, sedia ada bagus dengan apa yang ada, menjadi lebih baik dengan teknologi .
Beliau berpendapat, jika lebih banyak bandar pintar dibangunkan, kualiti hidup rakyat akan menjadi lebih baik.
Berkongsi pengalamannya semasa berada di Kuching, beliau berpendapat Kuching berpotensi menjadi bandar pintar yang lebih sesuai untuk didiami, menjadi tarikan ramai. – TVS