KUCHING, 7 Okt: Pesta Santubong kembali selepas puluhan tahun dalam nada ‘Santubong’s Day’ bagi menghidupkan kembali Kampung Santubong yang terkenal dengan warisan dan khazanah lama.
Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri berkata penganjuran acara yang pernah melonjakkan nama Santubong suatu ketika dahulu itu juga bertujuan untuk mengimbau kembali nostalgia lama dengan menjenamakan semula program itu dengan gabungan pelbagai aktiviti lama dan moden.
“Sebab Santubong banyak khazanah banyak cerita warisan sejarah jadi sayang kalau tidak dikembalikan suasana yang meriah kerana kebanyakan orang tahu Santubong dengan sejarahnya tetapi pada masa ini orang lebih mengetahui Santubong disebabkan Kampung Budaya Sarawak (SCV) dan acara Rainforest World Music Festival (RWMF),” katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Santubong’s Day 2023 di Tebingan Kampung Santubong di sini pada Jumaat.
Penganjuran Santubong’s Day katanya turut melibatkan penyertaan penduduk kampung itu secara menyeluruh dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta.
“Maka ia melibatkan penduduk kampung sendiri yang mempunyai idea dan kita dapat membawa kembali sejarah seni kepada masyarakat di Santubong kaya dengan bakat, seni, budaya terutama pada tahun 1960-an dan 70-an.
“Jadi kita tidak mahu aktiviti ini hilang begitu sahaja kerana saya rasa kita tidak berlaku adil kepada masyarakat Santubong kalau kita tidak membawa kembali program ini dengan melibatkan mereka terutama golongan muda,” katanya.
Beliau berharap program itu dapat diadakan dua tahun sekali sebagai permulaan kepada usaha mengembalikan semula penganjurannya di Santubong.
Faktor kos juga harus dipertimbangkan untuk mengadakan program itu setiap tahun, namun tidak menolak kemungkinan untuk menjadikan ia sebagai program tahunan jika terdapat dana peruntukan.
Santubong’s Day berlangsung selama tiga hari bermula 6 Oktober hingga 8 Oktober ini dengan pelbagai pengisian program dan aktiviti yang telah dirangka.
Antaranya pameran dan jualan, pertandingan perahu berhias, karaoke, nopeng, memancing, petanque, push bike, sukan rakyat, bola tampar, dan sukan elektronik (e-sukan). -TVS