SIBU, 7 Okt: Pesta Air Sibu Jaya 2023 telah dibanjiri lebih 10,000 pengunjuing menyaksikan pesta air tunggal di Sarawak itu mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat di sini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pesta berkenaan dilihat juga berjaya mengeratkan institusi kekeluargaan dan hubungan antara penduduk yang mempunyai pelbagai latar belakang di kawasan berkenaan.
“Ini adalah pesta yang amat dinanti-nantikan penduduk Sibu Jaya dan dapat dilihat keriangan dan keceriaan ibu bapa dan anak-anak”
“Mereka membawa anak-anak mereka dan ia baik untuk ikatan dan institusi kekeluargaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Abdul Karim dalam pada itu pihak Amcorp kerana di samping membangunkan Sibu Jaya, mereka juga berjaya membawa pelbagai aktiviti dan acara menarik untuk masyarakat di sini.
“Kumpulan AmCorp ialah sebuah syarikat yang telah memainkan peranan penting dalam membangunkan kawasan ini daripada wilayah yang sangat kecil kepada sebuah bandar satelit yang dibangunkan sepenuhnya. Atas sebab itu, kita mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan AmCorp,” ujarnya.
Acara yang mengambil ilham daripada ‘Songkran Water Festival’ di Thailand itu dianjurkan bersama Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dan Kumpulan AmCorp Berhad.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang Ming Tee, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai serta yang lain.-TVS