SIMUNJAN, 7 Okt: Kerajaan akan terus komited dalam usahanya menjadikan Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menerusi penerokaan ekonomi baharu.
Malah, inisiatif yang dirangka turut memberi kesan positif dan manfaat kepada rakyat secara holistik terutama dalam penyediaan keperluan asas khususnya infrastruktur jalan raya dan pemerkasaan sosioekonomi.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa berusaha mencari peluang menjana pendapatan tambahan untuk kepentingan Sarawak.
“Menerusi dasar dan inisiatif yang dilaksanakan, ia terdiri daripada dua kerana pemikiran di luar kotak untuk menggunakan teknologi terkini melibatkan industri baharu yang kita tidak pernah terfikir.
“Ia adalah untuk memastikan Sarawak bergerak seiring dengan negeri-negeri lain dan negara maju di Asia, dalam masa sama tidak melupakan keperluan asas masyarakat di Sarawak khususnya utiliti, telekomunikasi, bantuan kebajikan dan sebagainya giat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Taklimat Inisiatif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 di Dewan Mesra Simunjan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, kedua-dua perkara itu saling berkait rapat dalam memastikan ia dapat dilaksanakan dengan berkesan terutama dalam soal pembangunan berterusan.
Fazzrudin turut menggunakan analogi bapa mencari duit untuk menyara keluarga dan menampung keperluan anak-anak.
“Begitu juga Premier, yang sentiasa memikirkan cara untuk mencari duit (pendapatan) Sarawak bagi memastikan keperluan rakyat dan setiap kawasan di negeri ini menerima limpahan pembangunan melalui pendapatan yang diperoleh.
“Maka amat penting bagi kita sedikit sebanyak untuk kita tahu apa yang diusahakan oleh pimpinan kita sehingga kita dapat merasakan.
“Apa yang mereka telah usahakan maka ia adalah inisiatif yang telah dikongsikan kepada kita, jika tiada idea, usaha dan keberanian maka agak sukar untuk kita memastikan pendapatan Sarawak bertambah dan digunakan semula untuk rakyat di negeri ini,” jelasnya. – TVS