KUCHING, 7 Okt: Penganjuran Borneo Sonic Music Festival (BSMF) 2023 di Sarawak membawa objektif untuk membawa industri hiburan di Sarawak ke peringkat yang seterusnya dengan standard antarabangsa.
Pengarah Urusan BME International (Malaysia) Sdn Bhd, Steven Au yang merupakan pengasas muzik festival itu berkata, sebagai seorang pemaju hartanah, beliau telah mendapat maklum balas yang mana pelabur lebih berminat untuk melabur di Singapura, Australia dan Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur kerana kehidupan hiburan ataupun ‘nightlife’ yang lebih menarik di sana.
“Ini kerana di sana lebih banyak lagi hiburan, nightlife. Jadi saya merasakan, kenapa tidak Kuching juga menjadi seperti itu?
“Sebab itu saya berharap dengan BSMF2023, Kuching akan berada di peringkat seterusnya. Biar orang nampak yang Kuching juga sudah bersedia untuk menganjurkan konsert-konsert besar. Ini adalah mengapa saya mahu melakukannya,” jelasnya kepada TVS di sini, hari ini.
Selepas melihat pengalaman pada hari pertama BSMF2023, Steven berkata, beliau amat terharu kerana ramai penonton sudah berbaris dan menunggu seawal jam 2 petang.
“Saya sangat gembira, terharu dan hampir menangis. Saya dapat melihat mereka berhibur dan ini betul-betul menunjukkan suasana sesebuah muzik festival,” jelasnya.
Katanya, lagi kritikan dan pengalaman buruk sudah dijangkakan namun reaksi orang ramai telah mengubah segala persepsi negatif kepada positif.
“Saya boleh katakan 80 hingga 90 peratus reaksi semalam adalah yang baik-baik sahaja. Selepas ini setiap siri BSMF akan membawa keunikan masing-masing,” katanya lagi. -TVS