KUCHING, 6 Okt: Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT | IDECS) diyakini mendorong negeri ini membina trajektori semasa untuk menjadi kuasa ekonomi digital di rantau ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan optimis WCIT | IDECS yang melabuhkan tirainya hari ini mengetengahkan pelbagai idea yang dibentangkan oleh panel dari dalam dan luar negara turut membantu masyarakat untuk berkembang maju seiring inovasi dan teknologi.
“…sekali gus rakyat di negeri ini akan menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan persekitaran yang mampan.
“Dalam beberapa hari yang lepas ini, kita telah mendengar pembentangan ucaptama dan perbincangan panel mengenai topik terkini dan trend semasa dalam transformasi digital termasuk kepimpinan dalam ekonomi dipacu kecerdasan buatan, keselamatan siber, ekonomi digital, pelaburan, robotik dan penjagaan kesihatan, serta demonstrasi kemajuan dalam teknologi yang membentuk semula masyarakat pada skala global.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penceramah dan ahli panel yang telah berkongsi pengalaman mereka dan mencetuskan idea semasa acara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Penutupan Kongres Dunia Inovasi dan Teknologi dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (WCIT|IDECS) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.
Majlis turut menyaksikan Armenia diumumkan sebagai tuan rumah WCIT pada 2024 yang dijadualkan berlangsung di wilayah Yerevan. – TVS