BINTANGOR, 6 Okt: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Sibu-Bintangor pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Bintangor, Deputi Superintendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, mangsa berusia 64 tahun meninggal dunia akibat cedera parah.
Ketika kejadian katanya, pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Sibu menuju ke Bintangor melalui jalan yang lurus dan memotong sebuah kenderaan.
“Kenderaan yang bergerak laju itu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
“Manakala sebuah lagi kenderaan kereta mengelak daripada pelanggaran tersebut terbabas ke parit sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pacuan empat roda dan kereta terbabit terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
Penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS