KOTA SAMARAHAN, 6 Okt: Program Striving Towards Emotional and Psychological Support (STEPS) merupakan platform meningkatkan kesedaran berkaitan kesejahteraan kesihatan mental dalam kalangan pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menyifatkan STEPS yang julung kali diadakan itu memberi sumbangan besar kepada kesihatan mental komuniti kampus di sini.
“Program STEPS UNIMAS adalah sumbangan besar kepada kesejahteraan kesihatan mental komuniti kampus.
“Kementerian juga komited untuk terus menjalankan program kesedaran dan advokasi mengenai kesihatan mental dan isu sosial lain yang berkaitan dalam komuniti melalui program intervensi secara kolaboratif dan bersepadu dengan agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dalam program kami iaitu Randau Pembangunan Sosial dan Randau Solidariti Komuniti,” katanya.
Beliau bekata demikian di Majlis Perasmian Program STEPS di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR) Putra, UNIMAS, di sini, hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata penganjuran progam itu adalah untuk menjadikan pelajar UNIMAS mempunyai kesihatan mental yang baik dalam berdepan pelbagai tekanan sebagai mahasiswa.
“Sejajar dengan tema Bulan Kaunseling Kebangsaan 2023, penganjuran STEPS adalah bertujuan untuk melengkapkan pelajar UNIMAS dengan kemahiran dan strategi untuk memperkasakan kesihatan mental mereka.
“Di samping itu, penganjuran program ini juga berperanan membantu mereka dalam mendepani pelbagai cabaran dan tekanan yang dihadapi sebagai mahasiswa universiti,” tegasnya.
Pada masa yang sama, majlis itu turut melancarkan Sistem myCounselling yang merupakan sistem permohonan janji temu sesi kaunseling bagi pelajar UNIMAS.
Terdapat pelbagai pengisian sepanjang program itu berlangsung seperti Highlight: Bual Bicara ‘From Struggle to Success: Thriving with STEPS’ bersama Masitah Mohd Afandy (Ketua Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd, Pempengaruh Tik Tok dan Motivator), STEPS Webinar Sharing, STEPS Campus Tour, STEPS Up Zumba Fitness, 10,000 STEPS Challenge dan STEPS Personality Assessment: Know Yourself.
Turut hadir, Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof Dr Othman Dato’ Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ir Ts Dr Al-Khalid Othman dan tetamu kehormat lain.
STEPS akan berlangsung sepanjang bulan Oktober bersempena Sambutan Bulan Psikologi dan Kaunseling Peringkat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2023.
Program anjuran Unit Psikologi dan Kaunseling (PsyCon), Pusat Khidmat Pelajar dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UNIMAS itu dijalankan bagi berkongsi ilmu mengenai kesejahteraan minda serta berkaitan personaliti untuk meningkatkan potensi dan kesejahteraan diri.– TVS